fbpx

Piala Dunia: Sepanyol enggan tersilap langkah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPANYOL mahu menjadikan kekalahan kepada Jepun sebagai pengajaran dan enggan memandang rendah kemampuan Maghribi. – AFP

DOHA – Pengendali Sepanyol, Luis Enrique menyeru agar pa­sukannya membuktikan kegagalan menjuarai saingan peringkat kumpulan tidak memberi sebarang makna dengan meletakkan sasaran mara ke suku akhir menjelang aksi bertemu Maghribi malam ini.

Rekod cemerlang skuad La Roja pada kempen Piala Dunia 2022 kali ini ‘dinodai’ selepas mereka tewas mengejut 1-2 kepada Jepun pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F minggu lalu.

Kata Enrique, barisan pemain sudah belajar daripada kesilapan tersebut dan berjanji tidak akan memandang rendah dengan ancaman yang boleh diberikan The Atlas Lions pada aksi pusingan 16 terbaik nanti.

“Meskipun kita hanya layak selaku naib juara peringkat kumpulan, saya harap ia tidak memberikan sebarang masalah kerana apa yang penting hasrat pasukan lolos ke pusingan sete­rusnya dapat tercapai.

“Cuma, saya mahu kekalahan kepada Jepun sebelum ini menjadi amaran buat kami untuk lebih berwaspada ketika bertemu Maghribi nanti kerana harus diingat, dalam pentas Piala Dunia apa sahaja boleh berlaku.

“Mereka adalah negara yang bagus dan dibarisi ramai pemain berkualiti dan saya tidak mahu pemain memandang rendah dengan ancaman pasukan lawan nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas pengendali Barcelona itu menarik nafas lega apabila pemain pertahanan utama, Cesar Azpilicueta sempat cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada perlawanan di Stadium Education City kali ini.

Sementara itu, pemain tengah La Roja, Pedri turut bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Enrique selain mahu rakan-rakan sepasukan tampil lebih serius untuk menamatkan saingan dalam tempoh 90 minit.

“Setiap perlawanan kini bagaikan aksi hidup mati dan kita tidak boleh terleka walaupun 10 minit kerana ia boleh membuka ruang buat lawan menjaringkan gol,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Sepanyol kini memburu trofi Piala Dunia kedua dalam sejarah mereka selepas kali terakhir menang pada edisi 2010 di Afrika Selatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI