fbpx

Menang FFM32, Adi Putra beri ucapan dari Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADI Putra bergambar bersama foto trofi Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi pada Festival Filem Malaysia ke-32 baru-baru ini.

PETALING JAYA – Ketiadaan Datuk Adi Putra pada malam gemilang anugerah Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) minggu lalu kerana pelakon popular itu berada di Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah.

Meskipun tidak dapat menyertai festival filem gah tersebut, namun Adi sempat menitipkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kemenangannya menggondol trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Menerusi perkongsian sebuah video, Adi, 41, memanjatkan rasa syukur dan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), kedua orang tuanya, isteri tercinta serta anak-anak yang sentiasa menyokong dirinya dari awal hingga kini.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Terima kasih kepada Finas, kedua orang tua saya, isteri serta anak-anak. Tidak lupa kepada semua peminat.

“Kepada semua pemenang lain, tahniah. Tidak lupa juga kepada pengarah, Syamsul Yusof yang beri peluang untuk saya jadi watak Mat Kilau. Alhamdulillah,” ujarnya dalam sebuah video dimuat naik menerusi Instagramnya.

Dalam perkongsian sama, Adi turut mengambil kesempatan atas keberadaannya di Tanah Suci untuk mendoakan segala doa, niat dan hajat daripada semua pihak agar dimakbulkan Allah SWT.

“Sempena saya di sini, apa saja doa, niat dan hajat, insya-Allah saya doakan semoga Allah makbulkan doa anda sekalian.

“Mudah-mudahan, dengan apa yang kita perjuangkan dalam dunia perfileman, bukan sekadar ini. Khususnya untuk dunia, mesej yang nak disampaikan adalah untuk di akhirat suatu hari nanti,” ujarnya.

Pada penghujung video, pelakon itu turut menitipkan ucapan penuh mendalam dengan berkata, dia tetap merendah diri kepada Allah Yang Maha Esa.

Pemergian Adi atau nama lengkapnya Mohamed Hadi Putra Halim ke Tanah Suci membawa sekumpulan jemaah lain bawah kendalian agensi Hadid Travel & Tours Sdn. Bhd.

Rombongan jemaah umrah tersebut dilihat turut disertai pelakon Johan As’ari.

Sementara itu dalam perkongsian berlainan, Adi turut berkongsi gambarnya berlatar belakang Kaabah sambil memegang telefon yang memaparkan foto trofi yang dimenanginya.

Terdahulu, penganjuran malam kemuncak FFM32 yang berlangsung di Encore, Melaka pada 2 November lalu menyaksikan Adi memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik.

“Mohon maaf kepada semua yang mana tak sempat saya balas. Dengan ini, doa saya buat semua. Sekali lagi terima kasih Finas,” tulisnya pada ruangan kapsyen.

Dia menewaskan beberapa calon hebat lain antaranya Datuk Rahim Razali untuk filem Spilt Gravy, Amerul Affendi (Prebet Sapu), Haridhass Selvaraju (Moondram Athigharam: The Third Rule) serta pencalonannya sendiri untuk filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

FFM32 menyaksikan filem komedi Spilt Gravy arahan Datuk Zahim Albakri dijulang sebagai Filem Terbaik. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI