INDUSTRI perfileman tempatan semakin menampakkan taring sejak dua tahun lalu apabila sudah ada naskhah terbitan produksi negara mencecah kutipan RM100 juta, sekali gus membuktikan potensi karyawan dan pelakon tempatan.
Dalam kerancakkan satu persatu filem menunggu giliran masuk pawagam, sebuah lagi karya iaitu Blood Brothers: Naga Bara pula bakal menuju ke angka kutipan sama seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Sepanjang 12 hari tayangan, buah tangan sentuhan Syafiq Yusof mencanak mendaki carta lima filem tempatan dengan kutipan tinggi iaitu lebih RM50 juta.
Tidak mustahil andai naskhah terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios (PWS) itu mampu melangkui kutipan Mat Kilau dalam tempoh beberapa hari lagi.
Malah, bersandarkan formula aksi dan suntikan elemen kekeluargaan, filem lokal dijangka mampu pergi lebih jauh sekurang-kurangnya diikuti penonton di rantau ini, selain mengharumkan negara di festival luar dan tempatan.
Perkara itu disokong Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib yang mengakui karya anak tempatan sememangnya mampu membanggakan negara.
“Kita mempunyai banyak filem yang bagus, malah andai dilihat perkembangan semasa, drama tempatan turut mendapat tempat hingga ke negara seberang sekali gus menunjukkan potensi positif.
“Finas juga ada berjumpa ramai pembikin filem dan mereka mempunyai banyak idea bagus yang boleh diangkat di layar perak untuk dikongsikan termasuk kepada khalayak luar. Lihat sahaja Mat Kilau dan Blood Brothers, impaknya kuat.
“Bagi saya, antara pemangkin untuk ‘menjual’ naskhah kita adalah dengan berani bereksperimentasi menerusi kisah dan plot.
“Jika tidak sampai ke arena antarabangsa pun, menjadi sebutan di rantau ini sudah membanggakan,” katanya.
Beliau kemudian menegaskan pembikin filem tidak perlu takut kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana penapisan setiap babak secara kendiri terlebih dahulu membolehkan produk mereka tidak dipotong sekali gus memberi impak kepada jalan cerita.
“Penerbit boleh menghasilkan pelbagai genre termasuk membabitkan isu taboo seperti yang menjadi latar drama dalam produksi televisyen tetapi perlu diperhalusi agar tidak menyentuh sensitiviti.
“Saya yakin seiring aliran semasa serta ruang lingkup maya yang terbuka luas, penerbit filem lokal tetap memelihara jati diri biarpun mahu memasarkan naskhah terbitan hingga ke negara luar.
“Filem Malaysia mempunyai identiti tersendiri, terutama yang dipilih mewakili negara ke festival perfileman di rantau ini atau di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Menurut Azmir, selain memberikan sokongan daripada segi suntikan dana, inisiatif sampingan dan kepakaran pemasaran, kerajaan menerusi Finas serta agensi di bawah kementerian berkaitan sentiasa membuka pintu kepada penerbit.
Katanya, sokongan berterusan itu diharap dapat memacu semangat pengkarya serta penggiat arena perfileman negara agar terus memacu azam membawa naskhah lokal ke persada dunia atau sekurang-kurangnya mampu menjadi antara jaguh di rantau ini.














