fbpx

Korea Selatan sukar tambah populasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kos pendidikan dan kebimbangan masalah ekonomi menghalang wanita muda untuk melahirkan anak. - AFP

SEOUL – Korea Selatan memecahkan rekod sendiri apabila mencatat kadar kesuburan paling rendah di dunia, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Angka rasmi diterbitkan November lalu itu mendapati purata bilangan anak yang dimiliki wanita Korea Selatan sepanjang hayat mereka cuma 0.79.

Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), untuk sesebuah negara memastikan populasi yang stabil, kesuburan optimum setiap wanita perlu berada pada kadar 2.1 kanak-kanak.

Bagaimanapun, jumlah kelahiran di Korea Selatan tidak sampai separuh daripada kadar yang disyorkan.

Keadaan itu memberi cabaran kepada Korea Selatan. Negara itu turut berdepan kekurangan tenaga kerja yang semakin serius untuk menyokong sistem pencen dan populasi yang semakin tua.

Menurut stesen penyiaran CNN, Presiden Yoon Suk-yeol memberitahu pada September 2022 bahawa sepanjang 16 tahun lalu, Korea Selatan membelanjakan lebih AS$200 bilion (RM873.5 billion) dalam usaha untuk meningkatkan populasinya.

Angka tersebut termasuk bantuan kewangan yang diberikan untuk bayi baru lahir. 

Di bawah pentadbiran Suk-yeol, elaun bulanan kepada ibu bapa yang memiliki anak bawah umur satu tahun dijangka dinaikkan daripada 300,000 won (RM1,004) sekarang kepada 700,000 won (RM2,358) pada 2023 dan 1 juta won (RM3,362) dalam tahun 2024.

Bagaimanapun, ramai ibu bapa mengatakan bahawa janji kerajaan untuk menaikkan elaun bulanan itu bukan lagi perkara utama buat mereka.

“Mereka (kerajaan) telah menukar nama dan menggabungkan elaun tetapi ia tiada manfaat untuk ibu bapa seperti kami,” kata ibu anak seorang, Kim Min-jeong kepada CNN. Dia kini sedang menunggu kelahiran anak kedua.

Sejak Min-jeong melahirkan anak, dia tidak dapat bekerja dan perlu menjaga bayinya kerana tidak mampu membayar pengasuh peribadi, selain tidak mempercayai taska yang dibiayai kerajaan.

Walaupun kerajaan menyediakan banyak taska, beberapa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pengasuh memukul bayi, menakutkan ibu bapa selepas tular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara masalah lain dihadapi ibu bapa seperti Min-jeong termasuk peranan jantina mengikut tradisi. Golongan wanita diharap untuk melakukan kerja rumah dan bekerja, manakala budaya dalam masyarakat tidak menggalakkan suami  membantu.

Masyarakat Korea Selatan juga memandang serong kepada ibu atau bapa tunggal. Kaedah rawatan persenyawaan in vitro (IVF) juga tidak tersedia untuk wanita bujang, manakala perkahwinan songsang diharamkan.Pasangan tidak berkahwin turut tidak dibenarkan untuk mengambil anak angkat.

Kos pendidikan dan kebimbangan dari sudut ekonomi pula menghalang golongan muda untuk memiliki anak.

Pengkritik-pengkritik berpendapat bahawa isu tersebut melangkaui aspek ekonomi dan perubahan strategi adalah perlu. Ramai pakar berpendapat strategi sedia ada bersifat satu hala sahaja. Mereka berkata, kerajaan perlu memberi sokongan berterusan kepada  kanak-kanak menerusi inisiatif itu untuk sepanjang hayat mereka. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI