fbpx

Permintaan tinggi punca bekalan telur terputus di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI – Bekalan sebanyak 10 hingga 12 juta telur ayam seminggu di negeri ini tidak dapat menampung permintaan yang tinggi, menjadi punca kekurangan bekalan bahan makanan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, peningkatan permintaan itu juga turut dipengaruhi oleh penggunaan tinggi yang diperlukan di peringkat industri termasuk pembuatan kek dan roti (bakeri).

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memenuhi pembekalan telur dan ayam di dalam pasaran.

“Untuk makluman, kita ada bekalan telur antara 10 juta hingga 12 juta pelbagai jenis (telur) setiap minggu di negeri ini.

“Mengikut data-data yang kita dapat setakat ini, bekalan itu kekal sama tapi permintaan tu meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status aduan kekurangan bekalan telur dan ayam di Johor serta usaha kerajaan negeri dalam mengatasinya.

Dalam pada itu, Ting Han turut mengesahkan menerima aduan berkenaan penjualan telur kotor yang menggelirukan pengguna di Johor Bahru, baru-baru ini.

Beliau berkata, susulan laporan tersebut, peniaga terbabit telah dipanggil bagi siasatan lanjut.

“Terdapat dua kes telur kotor yang tular di media sosial dikesan sejak beberapa hari lalu. Satu aduan rasmi berhubung telur kotor berlaku di Johor Bahru sudah diterima daripada pengguna.

“Pengadu mendakwa penjual hanya menjual telur kotor di pasaran sekali gus sukar mendapatkan telur ayam gred kawalan seperti sebelum ini. Siasatan sedang dilakukan mengenai aduan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI