fbpx

Kerugian akibat bencana cecah RM1.17 trilion tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH kedai runtuh akibat Taufan Ian di Fort Myers, Florida pada 7 November lalu. - AFP

GENEVA, Switzerland – Bencana alam semula jadi dan bencana buatan manusia me­ngakibatkan kerugian ekonomi AS$268 bilion (RM1.17 trilion) sepanjang tahun ini, terutama­nya disebabkan oleh Taufan Ian dan malapetaka akibat cuaca ekstrem, kata firma Swiss Re kelmarin.

Kerugian yang diinsurans pula berjumlah AS$122 bilion (RM536.80 bilion) atau kurang separuh daripada kerugian ekonomi keseluruhan yang berlaku pada tahun ini, kata syarikat berpangkalan di Zurich itu yang merupakan penanggung insu­rans kepada syarikat insurans. 

“Taufan Ian dan peristiwa cuaca ekstrem lain seperti ribut musim sejuk di Eropah, banjir di Australia serta Afrika Selatan, di samping ribut air batu di Perancis dan Amerika Syarikat (AS), menyumbang kepada kerugian akibat bencana alam semula jadi yang diisurans berjumlah sekitar AS$115 bilion (RM506 bilion),” kata Swiss Re dalam satu kenya­taan.

Menurutnya, kos yang diinsu­rans akibat bencana buatan manusia pula sebanyak AS$7 bilion (RM30.8 bilion).

Tahun 2022 merupakan tahun kedua berturut-turut kos ke­seluruhan akibat bencana alam yang diinsurans melebihi AS$100 bi­lion (RM440 bilion), dengan ­ang­ka­ itu mencecah AS$121 bi­lion (RM532.4 bilion) tahun lalu.

“Urbanisasi, pengumpulan kekayaan di kawasan yang cende­rung ditimpa bencana, inflasi dan perubahan iklim merupakan faktor penyumbang utama.

“Apabila Taufan Andrew membadai 30 tahun lalu, kerugian berjumlah AS$20 bilion (RM88 bilion) tidak pernah berlaku sebelum itu. Namun, kini sebanyak enam taufan kategori itu melanda dalam tempoh enam tahun,” kata ketua bencana Swiss Re, Martin Bertogg.

Menurutnya, Taufan Ian me­rupakan bencana yang menyebabkan kerugian terbesar tahun ini dengan anggaran kerugian diinsurans antara AS$50 bi­lion (RM220 bilion) hingga AS$65 bi­lion (RM286 bilion).

Firma Swiss Re menganggarkan Taufan Ian mengakibatkan kerugian diinsurans kedua terbesar dalam sejarah selepas Taufan Katrina membadai AS dalam tahun 2005.  

Daripada anggaran kerugian ekonomi akibat kerosakan harta benda berjumlah AS$268 bilion (RM1.17 trilion) sepanjang tahun ini, sebanyak AS$260 bilion (RM1.14 trilion) disebabkan oleh bencana alam semula jadi, manakala AS$8 bilion (RM35.2 bilion) lagi berpunca daripada perbuatan manusia seperti kemalangan industri. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI