fbpx

‘Kami penat, terseksa asyik dilanda banjir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk membersihkan kawasan rumah mereka yang dipenuhi lumpur di Kampung Padang Empang, Iboi semalam. – SHAHIR NORDIN

BALING – Kira-kira 300 penduduk di Kupang di sini diuji sekali lagi apabila rumah mereka dilanda banjir lumpur kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, sebanyak 97 buah rumah dari 13 kampung dinaiki air dari 0.1 meter hingga satu meter akibat limpahan Sungai Kupang.

Kampung terlibat ialah Kampung Padang Empang, Kampung Tanjung, Kampung Bukit Iboi, Kampung Bok Bak, Kampung Dusun, Kampung Charok Kapas, Kampung Hangus dan Kampung Pak Bong.

Lima lagi ialah Kampung Sa­dek, Kampung Padang Dan, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Becah dan kawasan Yayasan Khairiah.

Menurut penduduk Kampung Padang Empang, Md. Tarmizi Che Meh, 40, dia sudah lelah apabila terpaksa berhadapan dengan banjir yang teruk sejak tragedi kepala air pada Julai lalu.

“Kali ini, sudah lebih lima kali rumah dimasuki air lumpur. Banyak barang yang terpaksa dibuang kerana rosak.

“Kerugian memang tak dapat dikira lagi, tetapi paling menyeksakan apabila kami terpaksa mencuci selut di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di kampung itu di sini semalam.

Katanya, dia juga tidak ber­upaya untuk melakukan tugas berat kerana menghidap penya­kit jantung dan baru sahaja ke­luar dari wad Hospital Baling pada minggu lalu.

“Saya sudah penat kerana setiap kali hujan lebat dalam tempoh kira-kira dua jam, Sungai Kupang akan melimpah dan memasuki rumah penduduk yang terletak berhampiran sungai,” ujarnya.

Justeru, Md. Tarmizi memin­ta pihak kerajaan supaya membina sangkar batu bagi mengukuhkan tebing sungai.

“Kerja-kerja mendalamkan sungai sedang dijalankan, namun tebing sungai terdiri daripada pasir yang dibawa keluar dari sungai mudah runtuh.

“Ia seterusnya menyebabkan air sungai yang deras melimpah ke rumah penduduk,” ujarnya.

Keadaan rumah penduduk yang dipenuhi lumpur selepas dilanda banjir dan arus deras dari sungai berdekatan di Kampung Padang Empang, Iboi.

Seorang lagi penduduk, Zai­nom Salleh, 70, berkata, dia sudah tidak berdaya lagi untuk mencuci rumah yang dipenuhi selut.

“Masa kejadian kepala air pada Julai lalu, kami ambil masa lebih sebulan untuk pulih seperti sediakala.

“Bagaimanapun, selepas itu berlaku lagi banjir dan semalam merupakan kali kelima kami terpaksa berhadapan dengan kejadian sama,” katanya.

Tambahnya, penduduk di situ akan terus diselubungi kebimbangan sekiranya operasi mendalamkan sungai tidak selesai sepenuhnya.

“Pembinaan sangkar batu pada tebing sungai dan sistem perparitan yang baik di sepanjang sungai perlu dilaksanakan secepat mungkin,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz memberitahu, air sungai melimpah selepas berlaku hujan lebat melebihi dua jam.

“Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) kerana banjir di rumah penduduk telah surut,” tambahnya.

Dalam kejadian pada 4 Julai, tiga sekeluarga maut, manakala lebih 1,000 rumah terjejas dalam kejadian aliran puing dan banjir lumpur.

Kawasan sama sekali lagi dilanda banjir pada 28 Julai lalu diikuti pada 6 September dan 4 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI