fbpx

PRU15: Lapan ADUN BN, dua PH angkat sumpah Exco Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADUN Bebar, Datuk Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff menandatangani surat perlantikan sebagai Exco di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah di Balai Rung Seri Istana Abu Bakar Pekan.

PEKAN – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

ADUN BN daripada UMNO yang mengangkat sumpah ialah ADUN Benta, Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak, ADUN Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, ADUN Bebar, Datuk Mohamad Fakhruddin Mohd. Ariff dan ADUN Muadzam Shah, Ir. Razali Kassim.

Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohd. Nizar Najib, ADUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal dan ADUN Guai, Datuk Sabariah Saidan.

Daripada PH masing-masing diwakili ADUN DAP, Leong Yu Man dan Sim Chon Siang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kedua-dua mereka merupakan muka baharu.

ADUN BN daripada UMNO yang merupakan muka baharu ialah Ir. Razali; Johari, Mohd Nizar, Fadzli dan Sabariah.

Istiadat angkat sumpah disaksikan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir Pegerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada Isnin lalu , Wan Rosdy sekali lagi dilantik menjadi Menteri Besar Pahang selepas mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pilihan Raya Umum ke-15 menyaksikan BN menang 16 kerusi manakala PN pula memperoleh 17 kerusi dan PH mendapat lapan kerusi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI