fbpx
Penyerang Tunisia, Wahbi Khazri meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama pasukannya ketika menumbangkan Perancis di Stadium Education City, Doha. -AFP

Piala Dunia : Tunisia jinakkan Perancis sebelum pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA – Impian Tunisia untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik di Piala Dunia 2022 tidak kesampaian meskipun pasukan tersebut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Perancis dalam aksi Kumpulan D di Stadium Education City, sebentar tadi.

Jaringan Wahbi Khazri pada minit ke-57 tersebut seakan-akan tidak bermakna apabila mereka hanya sekadar berada di kedudukan ketiga Kumpulan D selepas Australia berjaya menumbangkan Denmark 1-0 sekali gus meranapkan impian mereka ke pusingan kalah mati.

Pada perlawanan tersebut, Tunisia perlu mencatat kemenangan ke Perancis dan sambil mengharapkan keputusan seri antara Denmark dan Australia, namun tidak kesampaian.

Pada perlawanan tersebut, Tunisia yang turun dengan misi wajib menang bermain dengan cukup baik apabila melakukan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Perancis dan hampir mendahului perlawanan, namun jaringan Nader Ghandri pada minit ke-8 menerusi hantaran cantik Wahbi Khazri dikesan ofsaid.

Perancis yang sudah layak ke pusingan 16 terbaik tersebut hanya mempertaruh barisan kedua dengan merehatkan bintang utamanya seperti Hugo Lloris, Kylian Mbappe dan Olivier Giroud dilihat gagal mempamerkan persembahan terbaik mereka.

 

Kylian Mbappe melakukan percubaan untuk mencari gol penyamaan namun gagal menerjah ke gawang gol di Stadium Education City, Doha. -AFP

Peluang tersebut digunakan sebaik mungkin pasukan Tunisia dengan melancarkan beberapa percubaan tepat ke arah pintu gol sepanjang separuh masa pertama perlawanan namun masih gagal memecah kebuntuan.

Bersambung babak kedua, Tunisia terus mengatur strategi dan peluang mereka akhirnya muncul pada minit ke-57 apabila Khazri berjaya membuka gol pembukaan buat pasukannya sekali gus mendahului perlawanan tersebut.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Les Bleus dilihat membawa masuk Mbappe, Griezmann, Ousmana Dembele, Andrien Rabiot untuk merencana strategi permainan mereka untuk mencari gol penyamaan.

Kemasukan bintang utama Perancis benar-benar membantu pasukan tersebut apabila beberapa kali berjaya menguji penjaga gol Tunisia, Aymen Dahmen. Seminit sebelum perlawanan berakhir, Griezmann yang meledak gol penyamaan terpaksa dibatalkan selepas dikesan ofsaid.

Hasil keputusan tersebut, Australia mengutip enam mata untuk mengiringi Perancis ke pusingan 16 terbaik, manakala Tunisia pula akur di tangga ketiga kumpulan dengan mengumpul empat mata, sementara Denmark berada di kedudukan tercorot apabila hanya mampu mengutip satu mata sahaja. -KOSMO! ONLINE

POPULAR