fbpx
KEMENANGAN ke atas Arab Saudi belum cukup untuk bantu Mexico lepasi peringkat kumpulan. - AFP

Piala Dunia: Mexico ‘tutup kedai’ dengan atasi Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA – Hasrat Arab Saudi untuk mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 1994 tidak kesampaian selepas tunduk 1-2 kepada Mexico pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Lusail sebentar tadi.

Selepas cipta kejutan terbesar dengan menewaskan Argentina 2-1 pada perlawanan pembukaan, 22 November lalu, harapan terhadap Arab Saudi makin memuncak namun keputusan itu menghadirkan penamat kurang baik buat The Green.

Menariknya, pemburuan dua slot ke pusingan kalah mati daripada kumpulan ini masih lagi terbuka buat keempat-empat pasukan sekaligus menyaksikan Mexico dan Arab Saudi perlu mencari jalan selamat dengan memenangi perlawanan kali ini.

Terdahulu, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan cukup baik namun sejurus memasuki minit ke-37, Arab Saudi terpaksa menerima tamparan apabila kehilangan pemain pertahanannya, Ali Albulayhi selepas dilihat alami kecederaan pada bahagian paha.

Sepanjang babak pertama Mexico berjaya mencipta sekurang-kurangnya 11 percubaan namun Arab Saudi wajar berterima kasih kepada penjaga golnya, Mohammed Al-Owais yang bertindak cemerlang menafikan beberapa peluang terbaik pasukan lawan.

Mexico memulakan babak kedua dengan langkah kanan apabila memperoleh dua gol pantas menerusi Henry Martin pada minit ke-48 dan Luis Chavez, empat minit selepas itu.

Seakan menyedari Poland sedang ketiggalan dua gol kepada Argentina, pengendali Mexico, Gerardo Martino mengarahkan pemainnya supaya mencari tambahan jaringan untuk dijadikan bekal kepada penentuan kedudukan akhir dalam Kumpulan C namun usaha dilakukan tetap menemui jalan buntu.

Minit ke-87, Mexico kembali ceria apabila Uriel Antuna berjaya menggegar gawang lawan buat kali ketiga sebaliknya jaringan itu dibatalkan selepas pemain gantian berkenaan terlebih dulu dikesan dalam kedudukkan offside.

Ketika aksi memasuki masa kecederaan, Salem Al-Dawsari akhirnya meledak gol saguhati buat Arab Saudi dan jaringan itu nyata sudah terlambat. – KOSMO! ONLINE

POPULAR