fbpx

Lamb shank masak gulai tarikan di Mi Kari Kak Kiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rokiah menunjukkan seleksi lauk-pauk yang ditawarkan di kedai Mi Kari Kak Kiah, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

MEMULAKAN perniagaan sekitar 15 tahun lalu, menu mi kari Kak Kiah amat popular dalam kalangan penduduk di sekitar Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Pemilik kedai Mi Kari Kak Kiah, Rokiah Zulkifly berkata, perniagaan yang dijalankan di Medan Selera Jalan Pahang itu pada asalnya memberi fokus kepada hidangan sarapan pagi berupa mi kari, bihun sup dan lempeng.

Katanya, mi kari memang menjadi pilihan pelanggan sejak sekian lama kerana keunikan kuahnya yang tiada bandingan di tempat lain.

“Kekuatan mi kari yang kami tawarkan terletak pada kuahnya. Bahan-bahan utama lain kebanyakannya sama sahaja termasuk rempah.

“Sajian di sini lebih kepada Chinese style yang menggunakan kuah agak cair dan tidak terlalu pekat seperti mi kari biasa,” katanya.

Mi kari merupakan hidangan signatur di kedai ini sejak 15 tahun lalu.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, tidak hanya memfokuskan kepada sarapan pagi, kedainya turut menawarkan hidangan makan tengah hari.

Wanita berasal dari Temerloh, Pahang itu berkata, semua lauk-pauk yang ditawarkan berasaskan menu kampung serta hidangan istimewa, lamb shank masak gulai pada hari-hari tertentu.

“Kami juga menyediakan menu makanan tengah hari, selain sarapan pagi.

“Antara seleksi lauk-pauk yang ditawarkan adalah ikan patin tempoyak, ikan keli berlada, ikan bawal kari, ikan tilapia berlada, udang masak lemak bersama batang keladi, kari kepala ikan dan kari daging.

“Bagi memenuhi selera pelanggan yang mahukan kelainan, kami turut menyediakan lamb shank gulai pada hari-hari tertentu mengikut stok bahan mentah,” katanya.

LAMB shank masak gulai merupakan menu istimewa
di kedai ini.

Ujar Rokiah atau lebih mesra disapa sebagai Kak Kiah dalam kalangan pelanggan, lamb shank merupakan menu tambahan yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu, sebelum pandemik Covid-19.

“Pada awalnya, ramai yang terkejut dan tidak percaya kami ada jual lamb shank sebab hanya berniaga di kedai tepi jalan.

“Namun, apabila mereka nampak depan mata dan rasa sendiri, pasti ada yang datang semula untuk mencari menu ini.

“Lamb shank ini memang kami masak gulai sahaja. Dalam sehari lebih 15 jenis lauk-pauk disediakan untuk pelanggan termasuk seleksi ulam-ulaman kampung segar,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan pelanggan, Kak Kiah memberitahu, sejak lebih sedekad berniaga, menu yang ditawarkan di situ diterima baik oleh pelanggan daripada semua lapisan masyarakat.

“Alhamdulillah, sepanjang berniaga dengan dibantu anak-anak serta suami, pelanggan yang datang memberikan respons positif.

“Ada juga yang meminta kami untuk menambah lebih banyak seleksi lauk-pauk.

“Pelanggan kami tidak hanya orang lokal, tetapi turut dihadiri pelawat dari luar Selangor.

“Dari segi bahan mentah pula, kami dapatkan di pasar berdekatan dan semuanya dibeli secara segar,” katanya.

Dia menambah, gerainya mampu menampung kapasiti hingga 60 orang pada satu-satu masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN