fbpx

TUKANG Design and Craft Festival 2022 tampilkan seni kraf inovatif Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FOTO sekitar perasmian TUKANG Design and Craft Festival 2022 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Di sebalik pembangunan yang kian pesat, Selangor tidak meninggalkan seni kraf tangan begitu sahaja, malah negeri itu tidak lekang dengan usaha penyampaian pelbagai informasi tentang keunikan dan kelebihan seni kraf.

Demi menaikkan kembali martabat warisan seni budaya dan kraf yang semakin ketinggalan pada zaman moden ini, negeri Selangor telah menganjurkan satu festival kraf bermula dari 22 hingga 27 November lalu.

TUKANG Design and Craft Festival 2022 yang dianjurkan negeri Selangor melalui agensi pelancongannya, Tourism Selangor itu telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.

Sesuai dengan nama yang diberi, TUKANG yang dianjurkan untuk memasarkan karya-karya kraf oleh pereka dan artis inovatif yang menang dalam satu pertandingan anugerah awam terdahulu, kini disatukan dalam satu pameran yang menghimpunkan pemenang-pemenang anugerah berkenaan.

Festival tersebut menampilkan pelbagai jenis kraf dan karya seni tradisional seperti cantingan batik, pembuatan seramik dan tembikar serta anyaman tikar yang dihasilkan oleh tukang berkemahiran tinggi.

Azrul berkata, pihaknya menjangkakan seramai 5,000 orang pengunjung hadir dan pihak Tourism Selangor menyediakan aktiviti-aktiviti yang sangat menarik sepanjang festival itu berlangsung.

“Kami turut menganjurkan program pendidikan seperti pameran inovatif, bengkel seni, ceramah reka bentuk, bazar seni pop up & kraf, persembahan muzik dan pameran pitching pelancongan Selangor,” ujar beliau.

Tambah Azrul, pihaknya turut ingin menjadikan Selangor sebagai satu pusat untuk bakat-bakat kreatif yang telah mencipta nama di luar negara supaya lebih dikenali memandangkan impak daripada bakat tersebut dapat membina masa depan yang lebih baik kepada masyarakat.

Demi menjadikan Selangor sebagai Hab Industri Kreatif, negeri Selangor sentiasa melakukan yang terbaik dalam mempromosikan kawasan yang berpotensi menjadi tumpuan pelancong.

“Pihak Tourism Selangor akan turut membantu mempromosikan hasil seni kraf tangan kepada pelancong di pasaran tempatan dan global kerana setiap produk yang dihasilkan mempunyai nilai yang tersendiri.

“Mungkin kalian tidak perasan, baju batik yang saya pakai sekarang bercorak bunga tanjung yang mempunyai sembilan kelopak merujuk kepada sembilan daerah di negeri Selangor,” katanya sambil menunjukkan pakaiannya ketika merasmikan festival tersebut.

festival TUKANG Design and Craft Festival turut mengetengahkan kraf batik.

Tambah Azrul, Selangor beriltizam untuk memupuk semangat kepelbagaian budaya dan warisan yang ada di negeri itu terutama dalam mengasimilasi hasil-hasil kraf tradisional kepada hasil seni yang relevan dengan keperluan semasa.

Katanya, negeri Selangor boleh dilihat masih lagi mengekalkan hasil kesenian dan warisan di sebahagian besar kawasan pelancongan tanpa mengubah apa-apa untuk memodenkan tempat-tempat tersebut kecuali bagi kerja baik pulih.

“Antara tempat itu adalah Sultan Abdul Aziz Royal Gallery, Selangor International Islamic Art Complex, Fo Guang Shan Dong Zen Temple, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Batu Caves,” kata Azrul.
Selaras dengan slogan pelancongan domestik Selangor iaitu Pusing Selangor Dulu!, ia menunjukkan kepelbagaian jenis seni budaya dan warisan yang boleh dijumpai di Selangor meliputi industri fesyen, perabot sehingga makanan yang berpotensi menjadi tarikan pelancongan.

Sementara itu, kurator festival itu, Suzy Sulaiman dari Fakulti Kreatif dan Multimedia, Universiti Multimedia berkata, seramai 37 penyertaan untuk menempatkan diri dalam bengkel seni TUKANG telah diterima.

“Kami telah memulakan projek pada awal tahun ini kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan seni kraf. Mereka yang berminat boleh sertainya dan setelah memilih dengan penuh teliti, kami mempersembahkan kepada semua, enam orang pemenang.

“Setiap pemenang telah diberikan masa selama tiga bulan dan peruntukan wang tunai sebanyak RM10,000 bagi setiap satu projek untuk dipersembahkan ketika festival TUKANG ini berlangsung,” kata Suzy.

Antara pemenang anugerah tersebut ialah Leon Leong dan Hani Ali yang menampilkan projek A Piece of Kampung, Warenakita yang mengetengahkan Tepak Ulam, Re: Vision oleh Gwyneth Jong dan Maisarah Lubis, ‘Mok’ Pod oleh Gharib+Batiktektura, Sustainable Innovation Batik Alternative Tool oleh Ecovs serta T.I.K.A.R. oleh Inside RG.

Festival diadakan di Galeri Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam itu bertujuan meningkatkan lagi imej tempat tersebut supaya dikenali pelancong dalam dan luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN