fbpx

Telur banyak tapi harga melambung cecah RM18 sepapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEKALAN telur ayam gred A dan B yang masing-masing dijual pada harga RM18 dan RM17 sepapan di sebuah kedai runcit di Kuala Nerus semalam.

KUALA NERUS – Bekalan telur ayam di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu kembali stabil, namun harganya kini meningkat sehingga mencecah RM18 sepapan bagi telur gred A.

Tinjauan Kos­mo! di beberapa kedai runcit di sekitar daerah ini mendapati, harga telur yang dijual itu melebihi paras normal berbanding kebiasaan bagi telur ayam gred A, B dan C.

Seorang peniaga yang dikenali sebagai Yusof, 44, berkata, dia mendapat bekalan antara 500 sehingga 600 papan telur ayam daripada pembekal pada Khamis lalu, namun dikenakan caj tambahan.

Katanya, pembekal tidak memaklumkan sebab utama bekalan telur ayam kembali pulih secara tiba-tiba, namun difahamkan ia tiada kena-mengena dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tidak dinafikan sebelum ini bekalan memang terputus dan saya hanya menerima penghantaran telur ayam sekali atau dua kali dalam seminggu daripada pembekal.

“Namun, sejak minggu lalu, bekalan sudah normal seperti biasa walaupun bilangan masih sedikit, pembekal menghantar lebih kerap iaitu tiga kali se­minggu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Katanya, peniaga dikenakan caj tambahan iaitu caj penghantaran 2 sen untuk setiap biji telur sehingga memaksa harga jualan dinaikkan untuk semua gred.

PIHAK KPDNHEP memberi jaminan masalah kekurangan bekalan telur ayam di Terengganu akan selesai dalam beberapa hari lagi.

Seorang lagi peniaga kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Azman, 52, berkata, bekalan telur ayam dijangka terus pulih dalam masa terdekat sambil turut tidak menolak berlaku kenaikan harga.

Jelasnya, telur ayam gred A kini dijual pada harga RM18 sepapan, B (RM17) dan C (RM16) iaitu lebih mahal berbanding harga biasa antara RM13 sehingga RM15.50 bagi ketiga-tiga gred telur itu.

“Agak menghairankan juga selepas PRU15 bekalan telur pulih secara tiba-tiba tetapi saya diberitahu ia secara kebetulan.

“Memang harganya semakin mahal, ramai pengguna mengeluh dan mereka hanya membeli telur ayam gred C kerana lebih murah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati kesemua 13 pemborong telur ayam utama negeri ini mula menerima bekalan dalam kapasiti 100 peratus daripada pengeluar sejak kelmarin.

“Bekalan telur ayam itu mula diagihkan ke semua pasar raya dan kedai runcit di seluruh ne­geri ini secara berperingkat.

“Boleh dikatakan masalah kekurangan telur ayam di Terengganu kini sudah berjaya diatasi hampir 60 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.

Saharuddin bagaimanapun menasihatkan pengguna agar tidak melakukan pembelian pa­nik yang dikhuatiri boleh mengganggu rantaian bekalan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod bekalan yang diterima pemborong berkenaan, masalah kekurangan telur ayam dijamin selesai sepenuhnya dalam beberapa hari lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI