fbpx

Sultan Brunei lawat Anwar di Seri Perdana hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kiri), Sultan Brunei (kanan).

PUTRAJAYA – Ciri kepimpinan dan keupayaan dalam mengeratkan hubungan diplomatik ditampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diperkukuh apabila beliau akan menerima keberangkatan tiba Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah hari ini.

Sultan Hassanal berkenan melawat Anwar dalam satu pertemuan yang dijangka diadakan di Bangunan Seri Perdana hari ini menerusi lawatan khas Paduka Seri Baginda ke Malaysia.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu merupakan julung kali diadakan antara Perdana Menteri dan Paduka Seri Baginda selepas Anwar dilantik sebagai ketua kerajaan pada 24 November lalu.

“Lawatan terakhir Paduka Seri Baginda ke Kuala Lumpur ialah pada 4 hingga 6 Mac 2019 iaitu untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

“Malaysia dan Brunei Darussalam mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama insan,” katanya di sini tadi.

Wisma Putra berkata, bertitik tolak daripada hubungan istimewa itu, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan yang boleh memberi manfaat kepada kedua buah negara.

“Perdana Menteri akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah selain Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta rombongan dalam satu majlis santapan tengah hari.

“Pada tahun 2021, Brunei merupakan rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM 8.03 bilion,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI