fbpx

SUV rempuh kedai Apple, seorang terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rempuhan itu menyebabkan satu lubang besar terbentuk pada cermin bahagian hadapan kedai. – Jason Stott

BOSTON, MASSACHUSETTS – Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh sebuah kedai peralatan elektronik Apple, menyebabkan seorang mangsa maut serta mencederakan beberapa yang lain, lapor akhbar Metro UK.

Kenderaan jenis Toyota 4Runner berwarna hitam itu merempuh premis yang terletak di bandar Hingham, negeri Massachusetts, sejurus sebelum pukul 11 pagi (waktu tempatan) semalam.

Seorang lelaki meninggal dunia, manakala 16 yang lain cedera dalam insiden yang dikategorikan sebagai ‘jenayah’, kata Peguam Daerah Plymouth, Tim Cruz.

Rempuhan itu menyebabkan lubang besar terbentuk pada cermin bahagian hadapan kedai.  Kenderaan itu kemudian tersekat pada bahagian dinding belakang kedai, mengakibatkan sebilangan pelanggan terperangkap di dalam premis itu.

Menurut laporan, 16 mangsa yang cedera dibawa ke Hospital South Shore dan dua lagi dikejarkan ke hospital  lain di kawasan Boston.

“Sukar untuk digambarkan keadaan pagi ini dan orang ramai masih keliru melihat apa yang telah berlaku.

“Siasatan sedang dijalankan dan kami tidak dapat memaklumkan banyak perkara ketika ini,” kata Cruz.

Beberapa mangsa yang cedera dirawat di luar kedai oleh petugas kecemasan sejurus selepas kejadian berlaku dengan sebuah helikopter perubatan dikerah ke lokasi tersebut.

Polis turut menghubungi trak tunda untuk mengalihkan kenderaan SUV terbabit yang masih berada di dalam premis pada pukul 1.30 petang (waktu tempatan).

Menurut seorang saksi, Frank O’Brien, dia  terkejut melihat bagaimana kenderaan tersebut dipandu laju dan merempuh kedai Apple itu.

“Pemandunya pasti memandu dengan amat laju yang menyebabkan dia merempuh kedai Apple itu sehingga ke bahagian belakang kedai,” katanya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI