fbpx

Pembantu tadbir Felda didakwa pecah amanah wang khairat kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari mahkamah selepas pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang pembantu tadbir sebuah tanah rancangan Felda didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang khairat kematian berjumlah RM41,652.42 empat tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Syafiha Awang Za, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzami Mohd. Zain.

Menurut kertas pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu secara tidak jujur menggunakan wang bagi tujuan pembayaran khairat kematian untuk kegunaannya sendiri.

Tertuduh sepatutnya menyerahkan wang khairat kematian terbabit kepada enam waris peneroka Felda Sungai Panching Timur yang telah meninggal dunia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit antara Februari 2018 sehingga Jun 2019 bertempat di Pejabat Felda Sungai Panching Timur, di sini.

Jika disabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Riffah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Riffah Izzati memohon mahkamah menawarkan wang jaminan RM10,000 selain tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Tertuduh bagaimanapun merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana menanggung kedua ibu bapa dan tiga anaknya selain suaminya masih tidak dapat bekerja kerana baru selesai melakukan pembedahan.

Tertuduh juga memberitahu anaknya yang berusia tiga bulan mengalami masalah kesihatan dan memerlukan rawatan selain dirinya kini digantung kerja.

Ahmad Zamzami memutuskan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain meminta tertuduh melaporkan diri setiap bulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuantan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI