SELEPAS dua minggu suasana di negara ini panas dengan bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kini semuanya telah berakhir setelah selesainya proses pengundian semalam.
Selepas berakhirnya PRU15, tumpuan masyarakat kini terarah kepada pembentukan Kabinet bagi menjayakan agenda rakyat yang telah dijanjikan sebelum ini.
Bagi membincangkan perkara tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual penganalisis politik yang juga Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Selepas dua minggu berkempen dan berlangsungnya hari pengundian semalam, bagaimanakah Dr. melihat perjalanan proses demokrasi di negara ini secara keseluruhan? Adakah ia bertambah baik atau sebaliknya?
DR. SIVAMURUGAN: Pilihan raya diraikan pada setiap lima tahun atau sebelum tempoh itu dengan rakyat selaku pengundi perlu menjalankan tanggungjawab mereka untuk memenuhi hak sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Proses demokrasi ini telah mewujudkan empat gabungan besar seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Malah, buat pertama kali kita melihat kehadiran calon Perdana Menteri bagi setiap blok. Begitu juga penambahan calon yang bertanding sehingga mencecah 945 orang dengan calon Bebas sebanyak 108 orang.
Barangkali angka ini bersesuaian dengan peningkatan blok parti gabungan sehingga menyebabkan pertembungan melebihi dua penjuru di kebanyakan kawasan.
Kita juga melihat pengguguran dan pencalonan baharu dalam memberikan nilai kepada demokrasi, selain ada calon yang berpindah parti.
Meskipun proses demokrasi berjalan lancar, namun masih ada perkara yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa terutama berkaitan pengurusan persepsi dan emosi pengundi.
Misalnya, pembunuhan karakter, penggunaan ungkapan yang keterlaluan sehingga menghina, mengaib dan memalukan parti pesaing atau calon perlu dielakkan.
Demokrasi tidak menghalang kebebasan berkempen. Namun, masing-masing perlu menggerakkan kempen secara bermoral dan berhemah.
Apakah harapan Dr. terhadap kerajaan baharu yang bakal dibentuk serta perkara pertama yang perlu dilakukan bagi memastikan pakatan atau parti memerintah kuat dan stabil?
Kerajaan baharu perlu bergerak ke hadapan untuk memulihkan kestabilan dan menzahirkan keadaan yang lebih stabil.
Sepanjang empat tahun lalu, kita melihat kewujudan tiga Perdana Menteri dengan penjajaran politik berlaku pada Mac 2020 serta Ogos 2021.
Permusuhan politik perlu dihentikan. Gencatan politik dan perdamaian perlu menjadi agenda utama. Langkah progresif perlu dilakukan bagi memastikan masing-masing berkongsi matlamat yang sama di arena politik dan pentadbiran negara.
Ia boleh dilakukan jika kita ada iltizam dan keazaman politik (political will) melangkaui ideologi parti. Kestabilan politik membolehkan agenda besar lain dilaksanakan seperti mencari jalan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, ekonomi, peluang pekerjaan dan pendidikan.
Keperluan dan kemahuan rakyat perlu didahulukan supaya ia menyuntik kepada kesejahteraan, kerukunan, keamanan dan keselamatan sosial.
Kesemua ini memerlukan agenda ‘merakyatkan kepimpinan’. Negosiasi, tawar-menawar, kompromi dan korban wajar menjadi nilai yang menyemai rasa hormat serta menerima, walaupun berbeza fahaman politik.
Kestabilan politik membolehkan usaha merancang ekonomi dan sosial dapat dilakukan bagi memulihkan unjuran dalaman dan luar negara.
Malaysia dilihat ketinggalan jauh dari aspek ekonomi akibat perbalahan politik sebelum ini. Apakah langkah awal atau pecutan yang patut dilaksanakan kerajaan baharu?
Perbalahan politik perlu dinoktahkan. ‘Politiking’ seolah-olah esok masih ada lagi pilihan raya mesti dihentikan.
Tikam-menikam, tuduhan, skandal, aturan strategi dan amalan songsang perlu dihentikan.
Percaturan politik juga perlu dikaji semula. Walaupun politik ini aneka ragam, namun ia adalah seni segala kemungkinan. Apatah lagi politik di negara ini berkaitan angka. Namun, kewarasan politik mesti diberikan keutamaan.
Hormatilah keputusan pengundi, anggap ia sebagai mandat pemulihan kepercayaan dan keyakinan terhadap parti serta pemimpin.
Mandat rakyat tidak boleh dipinda menjadi mandat wakil rakyat sebagaimana tingkah laku dalam gelanggang politik sebelum ini.
Kita perlu menunjukkan sikap kematangan politik bagi memberi teladan kepada para pemimpin pelapis yang sedang memerhati.
Pada PRU15, kita melihat munculnya beberapa parti serta blok baharu sehingga mewujudkan pertembungan lebih tiga penjuru di kebanyakan kawasan Parlimen. Perlukah kita mengehadkan jumlah parti politik di negara ini?
Kewujudan pertembungan pelbagai penjuru adalah satu fenomena yang menjadi manifestasi kepada usaha meraikan pendemokrasian di negara ini.
Cah keting, permusuhan dalaman parti dan keinginan untuk bersaing mencari autoriti, pangkat serta kedudukan adalah lumrah dalam politik. Tidak ada musuh atau kawan yang tetap dalam politik.
Hasrat untuk mengehadkan jumlah parti akan menyekat roh pendempokrasian. Namun, usaha melahirkan kesedaran berpartisipasi dan sosialisasi politik perlu dilakukan secara berterusan.
Ia bagi membolehkan rakyat memahami kepentingan berpolitik dengan mengutamakan akhlak dan akidah serta menggarap nilai persamaan walau berbeza fahaman.
Setiap kali tiba musim PRU, kebanyakan warga kota terpaksa pulang ke kampung untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing. Adakah amalan ini patut diteruskan atau kita perlu mencipta satu kaedah yang lebih memudahkan?
Sudah tiba masanya kita memikirkan pendekatan atau kaedah yang sesuai dengan peredaran masa.
Jika ada perubahan yang boleh dilakukan seiring dengan perkembangan teknologi, maka barangkali e-voting boleh diperkenalkan.
Bagaimanapun, ia ada limitnya seperti yang pernah berlaku pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat dan pemilihan dalaman parti-parti di negara ini.
Saya percaya, jika ia dilaksanakan dan penambahbaikan berterusan dilakukan, kita mampu untuk membawa perubahan ke atas amalan konvensional sebelum ini.
Walaupun begitu, pendekatan hibrid boleh diperkenalkan buat permulaan supaya kita melangkah ke hadapan.
Begitu juga dengan kelonggaran untuk mengundi di mana-mana sahaja menerusi peranti dan jaringan internet. Kelesuan politik barangkali boleh diatasi dengan langkah fleksibiliti seperti ini.
Amalan di negara lain juga boleh dijadikan contoh untuk disesuaikan dengan demografi dan geografi tanah air.
Selepas berakhirnya PRU15, tumpuan terarah kepada Kabinet yang bakal dibentuk. Sebelum ini, ada pihak mendakwa, 70 menteri adalah terlalu ramai bagi sebuah negara seperti Malaysia. Justeru, berapakah jumlah menteri yang sepatutnya dilantik oleh kerajaan baharu?
Saiz jemaah Menteri yang sesuai enggan pemetaan negara ini adalah sekitar 25 orang. Kita pernah melihat negara ditadbir oleh 31 menteri dan 38 timbalan menteri serta seorang perdana menteri sehingga menjadikan jumlah keseluruhan seramai 70 orang.
Lazimnya, saiz anggota Kabinet adalah berdasarkan kepada amalan consociationalism atau kepentingan politik intra-anggota parti gabungan dan kepentingan lain termasuk dari segi komposisi negeri, agama, etnik, kepakaran serta lain-lain.
Sebagai badan eksekutif, ia perlu menjalankan tanggungjawab dengan nilai etika, good governance dan paparan teladan kepada yang lain.
Sebagai sebuah badan yang ampuh, sistem penyampaiannya bergantung kepada keutuhan kementerian bersama agensi dan pasukan dalaman masing-masing.
Terdapat desakan supaya setiap menteri dipilih berdasarkan bidang kepakaran masing-masing. Adakah perkara berkenaan merupakan kriteria penting dalam pemilihan Menteri?
Kepakaran penting untuk melihat keserasian dalam keanggotaan ahli Kabinet yang pelbagai serta keupayaan mengurus serta menunjukkan teladan kepimpinan kepada masyarakat.
Ia bukan satu-satunya indikator, tetapi boleh dijadikan nilai tambah dalam usaha memurnikan perancangan, pelaksanaan dan tindakan di kementerian masing-masing.
Kita memerlukan koordinasi antara yang rangka, laksana dan kumpulan sasar apabila tumpuan diberikan kepada dasar serta polisi. Latar belakang individu yang ada ilmu, kemahiran dan kebolehan wajar dijadikan rujukan dalam pemilihan pelantikan keanggotaan Kabinet ini.
Blok BN dan PH sebelum ini mengumumkan akan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari Borneo. Bagaimanakah Dr. melihat perkara tersebut dalam konteks merapatkan jurang ekonomi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak?
Sudah tiba masanya kita mengiktiraf dan menghormati hak rakyat Borneo sebagaimana termeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963. Jawatan Timbalan Perdana Menteri walaupun tiada dalam Perlembagaan, namun tidak bermakna pelantikannya hanya bersifat simbolik semata-mata.
Pelantikan tiga Timbalan Perdana Menteri termasuk dari Sabah dan Sarawak perlu diberikan autonomi untuk merapatkan hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri Borneo.
Selepas pembentukan kerajaan baharu, apakah usaha yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah kos sara hidup serta mengeratkan kembali hubungan masyarakat majmuk di negara ini?
Kos sara hidup memerlukan perancangan dan pelan tindakan yang rasional serta praktikal bersesuaian dengan ekosistem semasa.
Jurang inter-etnik dan intra-etnik serta antara negeri perlu dibaik pulih.
Paling penting, kerajaan perlu mengenal pasti isu sebenar di peringkat akar umbi bagi mencari penyelesaian menang-menang untuk semua.
Pendekatan multi dimensi wajar diguna pakai seperti isu kemiskinan.Ini kerana pendekatan untuk mengatasi masalah kemiskinan di bandar dan luar bandar berbeza. Kerajaan juga perlu membaik pulih bucu-bucu yang menjadi pemisah kepada hubungan antara etnik.
Komunikasi, kandungan yang jelas dan matlamat komprehensif boleh memperkuatkan kesejahteraan, mengukuhkan daya saing serta meningkatkan kerukunan dalam negara. Kepelbagaian yang ada mesti dijadikan rujukan kepada kekuatan dan bukan sebaliknya.
Apakah pencapaian-pencapaian yang harus diperoleh oleh kerajaan baharu dalam tempoh 100 hari?
Pertama, kerajaan baharu perlu menstabilkan politik dan mencari kedamaian politik. Kedua, merancakkan semula ekonomi dan meningkatkan kedudukan keselamatan sosial negara.
Isu sara hidup, ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan, sekuriti dan kesepaduan sosial juga perlu dilakukan dengan komited bagi kestabilan serta kemakmuran negara.














