fbpx

Wanita terkejut, tayar lori bergolek sehingga stesen minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar sebuah tayar yang tercabut dipercayai milik sebuah lori muatan besar yang memilih untuk berhenti di stesen minyak berhampiran.

PETALING JAYA – Seorang pemandu wanita yang sedang dalam perjalanan pulang untuk mengundi terkejut apabila sebuah tayar bergolek di hadapannya dipercayai milik sebuah lori muatan besar.

Menerusi rakaman video berdurasi lebih seminit yang dimuat naik pengguna media sosial, @aisys_umee, kelihatan sebuah tayar sedang bergolek melintasi beberapa kenderaan sebelum berhenti di stesen minyak berhampiran.

“Tayar lori itu tercabut dan hanya tinggal satu sahaja. Risau sekiranya terdapat kenderaan lain yang melanggar tayar itu. Mujur saja kenderaan di jalan raya pada ketika itu semuanya ‘sopan-sopan’ belaka,” katanya yang tidak henti-henti meminta lori itu berhenti.

Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna laman sosial itu berasa terhibur dengan kehadiran tayar tersebut dan menyifatkan ia seakan-akan tahu hala tujunya yang lebih memilih untuk berhenti di stesen minyak berhampiran.

“Pandai pula ia berhenti di stesen minyak. Hendak menambah angin agaknya kerana mungkin risau terbabas,” komen seorang pengguna.

“Saya juga pernah melihat tayar seperti itu tergolek. Kononnya tertanya-tanya, tayar siapalah agaknya yang tercabut. Rupa-rupanya, itu adalah tayar saya sendiri,” tulis pengguna lain pula.

Dalam pada itu, terdapat juga pegguna yang memuji kenderaan berwarna putih yang sanggup mengiring tayar tersebut seolah-olah membantu mengelakkannya daripada terkena kenderaan lain.

“Baik sungguh pemandu kereta berwarna putih itu. Dia sanggup mengiringi tayar tersebut baik ke tengah mahupun ke tepi. Tapi pada akhirnya, tayar itu pula melarikan diri daripada diekori menuju ke stesen minyak Shell. Agak merisaukan kerana ia berbahaya. Tapi pada masa yang sama, saya terhibur,” komen seorang pengguna berseloroh.

“Benar, tayar itu hendak menyelamatkan keadaan dan sudah bersedia hendak mengorbankan dirinya. Inilah ciri-ciri calon yang kita patut undi,” seloroh pemilik hantaran video membalas komen tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI