fbpx
HANIM tidak mengetahui bahawa suaminya sebenarnya sudah berkahwin dengan rakan baiknya LIza di Thailand. – Gambar hiasan

Sahabat karib selalu ke rumah rupanya madu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA ditikam dari belakang oleh suami dan rakan baik sendiri,” itulah kata-kata yang terpacul keluar dari mulut seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Hanim.

Hanim berkata, perkahwinan yang dibina atas dasar cinta bersama suaminya, Reza selama lebih lapan tahun akhirnya terlerai setelah dia memohon untuk dilepaskan dengan cara baik.

Menurutnya, dia telah memohon untuk berpisah setelah mengetahui bahawa suaminya itu menjalinkan hubungan sulit bersama rakan baiknya sendiri.

“Hati mana yang tidak sakit apabila diperlakukan dengan sedemikian rupa oleh orang yang kita sayang dan percaya sepenuhnya.

“Saya tidak sanggup untuk berkongsi kasih dengan rakan baik saya sendiri atas sebab itu saya memilih untuk mengundurkan diri,” katanya.

Berbicara tentang hal itu, Hanim berkata, dia mempunyai seorang rakan baik iaitu Liza dan mereka telah bersahabat sejak berada di universiti.

Setelah tamat pengajian, masing-masing berkahwin dengan pilihan hati masing-masing.

“Perkahwinan saya bersama suami amat bahagia. Suami saya seorang yang baik dan penyayang serta memiliki kerjaya yang amat baik.

“Namun, tidak bagi Liza, dia telah kecundang dalam perkahwinannya kerana dia dan suaminya tidak sehaluan,” jelasnya yang kini berusia awal 30-an.

Tambah Hanim, setelah Liza berpisah dia sering mencurahkan perasaannya kepada Hanim.

Ada ketikanya Liza akan tumpang tidur di rumah Hanim jika dia berasa kesunyian.

Sebagai seorang sahabat, Hanim melayani Liza dengan baik dan dia langsung tidak menaruh sebarang rasa curiga.

Malah, ada ketikanya, Liza melawak dan berkata, dia cemburu melihat Hanim kerana memiliki suami baik yang memiliki kerjaya yang juga baik.

Namun begitu, di belakangnya, Liza dan suami Hanim telah menjalinkan hubungan sulit tanpa pengetahuannya.

Hanim mengetahui akan hal tersebut apabila salah seorang rakannya memberitahu bahawa dia pernah melihat suaminya itu keluar bersama Liza.

HANIM tidak sanggup dimadukan dengan rakan baiknya sendiri.

Bermula dari situ, dia mula curiga dengan mereka berdua dan Hanim mengambil keputusan untuk menyiasat perkara itu terlebih dahulu sebelum dia membuat sebarang tuduhan.

“Saya memeriksa telefon pintar suami saya, namun tidak ada apa-apa yang mencurigakan.

“Namun, saya perasan Liza sering datang ke rumah saya dengan alasan sunyi dan ingin berbual dengan saya, tetapi saya perhatikan dia dan suami saya sering memerhati antara satu sama lain,” jelasnya.

Hanim juga mengakui, bisikan hatinya merasakan Liza dan suaminya itu seakan ada satu hubungan tanpa pengetahuannya.

Hanim masih mampu untuk bertahan kerana belum menjumpai sebarang bukti bahawa mereka berdua berbuat semikian.

Namun, pada suatu hari, Hanim terpaksa bertugas di luar kawasan selama tiga hari dan dia harus meninggalkan suaminya itu bersendirian di rumah.

Tiba-tiba terlintas di fikirannya untuk membeli satu kamera keselamatan untuk diletakkan di rumahnya itu.

“Saya memberi kamera keselamatan yang boleh disembunyikan untuk diletakkan di suatu ruang di dalam rumah saya.

“Saya meletakkan kamera keselamatan itu tanpa pengetahuan suami saya,” katanya.

Apa yang dilakukan Hanim itu telah membuatkan dia memperoleh bukti bahawa suaminya dan Liza ada menjalinkan hubungan.

Melalui kamera keselamatan itu dia dapat melihat rakan baiknya itu datang ke rumahnya pada sebelah malam ketika ketiadaannya.

Malah, dia boleh melihat kemesraan Liza dan suaminya itu ketika dia tiada di rumah sewaktu harus keluar bekerja di luar kawasan.

“Luluh hati saya melihat mereka berpelukan antara satu sama lain di ruang tamu di dalam rumah saya sendiri.

“Akhirnya saya menunjukkan rakaman tersebut kepada mereka berdua bagi meminta penjelasan, kedua-duanya terkejut apabila melihat rakaman tersebut,” jelasnya.

Akhirnya, suaminya dan Liza berterus terang kepadanya dan menyatakan bahawa mereka berdua telah berkahwin di Thailand tanpa pengetahuannya.

Hanim terkejut dengan pengakuan tersebut dan dia tidak menjangka orang yang dia percaya sanggup melakukan hal sedemikian kepadanya.

Malah, Liza meminta maaf kepadanya kerana dia sanggup untuk bermadu dengan Hanim.

Namun, Hanim tidak boleh menerima hal tersebut. Setelah berfikir panjang dia mengambil keputusan untuk memohon fasakh bagi membolehkan dia mencari kebahagiaannya sendiri.

Akhirnya, Hanim dan suaminya itu sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di utara Semenanjung.

“Saya meminta dilepaskan kerana hati saya tidak kuat untuk berkongsi suami dengan sahabat baik saya sendiri.

“Lagipun saya juga mempunyai kerjaya yang baik dan boleh hidup sendiri walaupun berpisah dengan suami saya,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN