fbpx

Tiada lantikan pihak ketiga untuk perkhidmatan mohon pasport secara online – JIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menegaskan tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga sama ada syarikat atau orang perseorangan bagi menawarkan perkhidmatan permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) secara online.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata demikian sebagai merujuk kepada satu video yang tular di aplikasi Tiktok berkenaan kadar bayaran bagi perkhidmatan pihak ketiga membuat PMA secara online.

“JIM tidak pernah melantik pihak ketiga bagi menawarkan perkhidmatan permohonan PMA secara online dan mengenakan bayaran atas perkhidmatan tersebut.

“Dalam isu video ini, jabatan ini telah menjalankan siasatan dan tindakan telah diambil kepada pihak ketiga tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, hasil semakan mendapati, kebenaran hanya diberikan bagi menjalankan perkhidmatan mengambil gambar dan fotostat dokumen sahaja.

“Sehubungan itu, JIM telah menarik balik kebenaran tersebut bagi mengelakkan sebarang salah faham dengan orang ramai yang datang berurusan selain turut mengarahkan pihak ketiga itu untuk menghentikan semua perkhidmatan serta merta.

“Ia termasuklah mengosongkan ruang kerja di Pejabat Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu sebelum 18 November ini,” tegas beliau.

Tambah Khairul Dzaimee, orang ramai dipohon agar sentiasa cakna dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk menerima sebarang perkhidmatan imigresen daripada pihak selain JIM.

“Maklumat lanjut berkenaan permohonan PMA secara online boleh didapati dengan melayari laman web rasmi www.imi.gov.my dan mengikuti akaun media sosial rasmi jabatan,” katanya.

Terdahulu, seorang wanita memuat naik satu video di aplikasi TikTok memaklumkan bahawa dia telah diberitahu oleh seorang kakitangan di UTC Pudu bahawa permohonan memperbaharui pasport hanya boleh dilakukan secara online dan bukannya secara ‘walk in’.

Wanita berkenaan berkata, kakitangan tersebut bagaimanapun meminta bayaran sebanyak RM100 sebagai caj perkhidmatan membuat permohonan berkaitan pasport secara online. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI