fbpx

PRU15: Majikan swasta digesa beri cuti pada Jumaat, Sabtu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Majikan sektor swasta di Malaysia digesa agar mempertimbangkan pelepasan cuti am pada Jumaat dan Sabtu ini bagi memberi peluang kepada pekerja untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, gesaan tersebut dibuat adalah bagi memenuhi tuntutan dan hasrat pemberian hari kelepasan tersebut oleh kerajaan persekutuan.

“Kerajaan telah mengisytiharkan cuti umum di seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu ini bagi menggalakkan rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk keluar mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bagi negeri-negeri yang menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan, maka hari Ahad 20 November ini ditetapkan sebagai hari kelepasan tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saravanan, cuti umum tersebut telah diisytiharkan di bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang merupakan cuti am diperuntukan kepada pekerja di sektor swasta menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955.

“Menurut peruntukan ini majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja.

“Majikan dikehendaki memaklumkan kepada pekerja mereka sama ada memilih tarikh pada 18 dan 19 November ini sebagai hari cuti am atau menggantikannya dengan tarikh-tarikh lain,” ujar beliau.

Tambah Saravanan, sekiranya tiada penggantian, pekerja yang bekerja pada tarikh-tarikh yang dinyatakan itu layak untuk menerima kadar gaji bagi cuti am.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 14 November lalu melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Jumaat dan Sabtu ini adalah Hari Kelepasan Am bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI