fbpx

Mahkamah: Perunding tidak mengaku tipu syarikat pelaburan RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Azhari (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini selepas membayar ikat jamin

KUALA LUMPUR – Seorang perunding syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu syarikat pelaburan hartanah berhubung bayaran tuntutan melebihi RM1.2 juta.

Bayaran itu didakwa bagi kerja-kerja yang tidak pernah dijalankan untuk projek pembinaan sebuah pusat membeli belah di Terengganu, dua tahun lalu.

Mohd Azhari Che Omar, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dengan memperakukan bahawa Syarikat Gafis (M) Sdn. Bhd. layak mendapatkan pembayaran bagi tiga tuntutan berkala berjumlah RM1.2 juta bagi kerja-kerja ujian penerimaan kilang (FAT) bagi beberapa peralatan.

Tuntutan RM1.2 juta itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan tuntutan bernilai hampir RM46 juta.

Tertuduh didakwa menipu PHB di antara 6 November 2020 dan 8 Januari 2021 di pejabat YHS Associates Sdn. Bhd., Pandan Jaya di sini sehingga mendorong syarikat itu membuat pembayaran kepada Syarikat Gafis pada 9 Disember 2020 dan 15 Februari 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sebat dan penjara antara satu hingga 10 tahun serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, pengurus perolehan dan kontrak Syarikat Gafis, Rosliza Lah, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi atas tuduhan bersubahat dengan Mohd. Azhari bagi tujuan sama pada waktu dan di tempat serupa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersubahat dengan Mohd. Azhari iaitu sengaja membantu menyediakan dokumen yang diperlukan untuk menipu syarikat pelaburan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala Mohd. Azhari dikendalikan oleh peguam, Hasnan Hamzah sementara Rosliza oleh peguam Mohd. Fikah Sanusi.

Semasa prosiding, Ahmad Akram mencadangkan Mohd. Azhari diberi ikat jamin sebanyak RM150,000 manakala RM50,000 bagi Rosliza dengan seorang penjamin.

“Pendakwaan juga mencadangkan kedua-dua tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, tidak membantah cadangan tersebut.

Selepas mendengar permohonan tersebut, hakim-hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebagai mana yang dicadangan pasukan pendakwaan dan menetapkan 16 Disember ini dan 5 Januari 2023 depan untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI