fbpx

K2

Cikgu Kimia pemenang Malaysia Teacher Prize

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SRISENA bersama trofi Malaysia Teacher Prize 2022 yang diraihnya.

SEORANG guru dari Sabah, Anuthra Sirisena melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize yang pertama.

Anugerah Global Teacher Prize versi tempatan itu telah dirintis penganjurannya oleh organisasi penyedia latihan kepimpinan guru, PEMIMPIN GSL dengan sokongan yayasan pendidikan, YTL Foundation yang mengiktiraf sumbangan cemerlang guru di seluruh negara dan merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-25 YTL Foundation tahun ini.

Malaysia Teacher Prize bermatlamat memberikan sinar kepada wira-wira tidak didendang yang memperjuang dan memperkasa generasi Malaysia akan datang di dalam dan luar bilik darjah.

Sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize, Sirisena meraih hadiah RM50,000 sebagai pengiktirafan terhadap kaedah pengajarannya yang inovatif dan impak yang beliau lakukan dalam memberi inspirasi kepada anak-anak murid dan komuniti setempat.

Sirisena telah disenarai pendek daripada lebih 800 permohonan guru cemerlang di seluruh Malaysia yang dipilih oleh panel hakim terdiri daripada ahli akademik, pegawai Kementerian Pendidikan dan individu daripada organisasi pendidikan serta bukan pendidikan di seluruh negara.

Sirisena yang mengajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom, Sabah adalah juara di dalam dan di luar sekolahnya.

Sebagai seorang guru kimia, beliau mengintegrasikan teknologi dan gamifikasi dalam bilik darjahnya yang menyumbang kepada kedudukan konsisten sekolahnya dalam 10 sekolah terbaik bagi subjek Kimia Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah.

Di luar bilik darjah, beliau merupakan pengasas bersama Tenom Innovation Centre (TIC), sebuah pusat yang telah melatih lebih 2,000 guru dan murid dari sekolah luar bandar dalam bidang robotik dan pengaturcaraan.

ZATASHAH (enam dari kiri) semasa mengumumkan kemenangan Sirisena (tujuh dari kiri) sambil disaksikan ketua-ketua penganjur dan para finalis lain di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sirisena yang amat bersyukur dengan kemenangan tersebut berharap dapat menggunakan wang ganjaran tersebut untuk mengembangkan TIC.

“Menjadi seorang guru merupakan cita-cita saya sejak dari dahulu lagi, dan saya sangat berbangga dengan apa yang telah saya serta anak murid saya kecapi bersama. Guru memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi kepada anak didiknya untuk menjadi yang terbaik.

“Saya sangat berbesar hati untuk mewakili rakan-rakan guru saya dalam mengangkat martabat kerjaya sebagai seorang guru di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PEMIMPIN GSL, Cheryl Ann Fernando dan Pengarah Program PEMIMPIN GSL, Samuel Isaiah berkata, dedikasi Sirisena terhadap profesionnya dan memastikan setiap muridnya di dalam bilik darjah mencapai potensi penuh adalah amat mengagumkan dan ia merupakan salah satu faktor utama yang mendorongnya memenangi anugerah Malaysia Teacher Prize.

“Kami yakin bahawa beliau akan dapat mewakili nama Malaysia Teacher Prize dengan baik dan mempamerkan usahanya kepada komuniti perguruan yang lebih besar,” kata mereka.

Mereka juga percaya permohonan diterima untuk Malaysia Teacher Prize tahun ini hanyalah permulaan dan terdapat ramai lagi guru hebat di Malaysia yang bekerja tanpa jemu untuk meningkatkan taraf kehidupan murid.

“Bagi pihak PEMIMPIN GSL, kami berbesar hati dan berterima kasih atas peluang untuk menganjurkan Malaysia Teacher Prize pada skala ini. Sebagai bekas guru, kami ingin terus meraikan profesion guru dan meningkatkan taraf perguruan di negara kita,” kata mereka.

Terdahulu, bersama Sirisena, empat orang guru lagi telah diumumkan sebagai lima finalis oleh Yang Amat Mulia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Penganugerahan

Malaysia Teacher Prize di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lima finalis ini kemudiannya menerima anugerah mereka daripada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pengarah Program YTL Foundation, Datuk Kathleen Chew berkata, YTL Foundation berbesar hati untuk bekerjasama dengan PEMIMPIN GSL bagi menganjurkan Malaysia Teacher Prize.

“Anugerah ini merupakan sebuah ruang untuk menonjolkan dan meraikan usaha guru-guru Malaysia yang cuba untuk membawa perubahan dalam hidup anak murid mereka, masyarakat, dan ekosistem pendidikan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI