fbpx

Lagu SFMM37 dinyanyikan Wani Kayrie, Ernie okey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERNIE menerima dengan hati yang terbuka selepas pengurusannya membuat keputusan memberikan lagu Berakhirlah Pencarianku kepada Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq pada persembahan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37).

PETALING JAYA – Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri mendedahkan bahawa persembahan lagu Berakhirlah Pencarianku bergandingan dengan Hafiz Suip pada Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37) akan digantikan dengan orang lain.

Itu merupakan keputusan syarikat rakaman Rocketfuelent dan Nova Music dengan persetujuan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh yang meletakkan Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq sebagai pengganti.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 30, dia baru mengetahui tentang penggantian tempatnya pada minggu lepas dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

“Saya hanya layak memberi kenyataan sebagai penyanyi. 100 peratus keputusan bukan di tangan saya walaupun rasa agak janggal penyanyi lain berada di atas pentas membawakan lagu saya.

“Mereka (syarikat rakaman) yang membuat keputusan tentang lagu tersebut dan saya rasa ini bukan suatu perkara negatif kerana dapat memberi peluang buat Wani Kayrie.

“Mungkin tiada rezeki untuk saya nyanyikan Berakhirlah Pencarianku dan ada baiknya kerana saya dapat memberikan fokus lebih kepada Korban,” katanya.

Ernie berkata demikian ketika pada sidang akhbar SFMM37 di Nero Event Space, PJ PAC One Utama, Damansara Utama semalam.

Pada masa sama, isteri kepada Syamel itu juga sempat menitipkan sokongan buat Wani Kayrie dan sanggup membantu penyanyi itu jika berdepan masalah sepanjang latihan.

“Ini merupakan satu peluang yang bagus untuk Wani meneroka lebih lagi tentang bidang muzik.

“Kalau berada di tempat Wani sekalipun, saya terus akan ambil sebagai cabaran untuk menapak dalam industri muzik.

“Kalau Wani perlukan apa-apa nasihat atau tip boleh hubungi saya terus,” ujar pelantun lagu Gundah itu.

Terdahulu, Ernie layak bertanding dalam SFMM 37 dengan lagu Korban hasil ciptaan sendiri dan Berakhirlah Pencarianku berduet bersama Hafiz Suip yang akan berlangsung pada 25 dan 26 November ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI