fbpx

Ismail Sabri stabilkan ketidaktentuan politik negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Undang-undang yang hendak dibuat perlu menjamin keselamatan Keluarga Malaysia. – Gambar Hiasan

Oleh Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz

Undang-undang adalah antara asas kepada setiap sudut kesejahteraan dan pencapaian masyarakat. Ini kerana, tiada mana-mana masyarakat yang auto-pilot tidak dikawal. Masyarakat memerlukan pelbagai kawalan termasuk dalam bentuk undang-undang.

Oleh kerana itu, dalam masyarakat demokrasi se­perti Malaysia, terdapat badan utama yang membuat undang-undang iaitu Parlimen pada pe­ringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.

Malaysia juga mempu­nyai badan pelaksana undang-undang, iaitu eksekutif dan badan kehakiman untuk mentafsir undang-undang. Apabila membincangkan hal berkaitan undang-undang, ia melibatkan ketiga-tiga institusi ini.

Undang-undang dalam erti kata paling umum adalah peraturan atau tindakan yang ditetapkan pihak atasan dan mesti dipatuhi orang bawahan.

Bagi negara kita, Perlembagaan adalah undang-undang paling tinggi dan Parlimen adalah badan perundangan utama.

Tujuan undang-undang termasuk mengawal tingkah laku manusia sehingga terkawal tingkah lakunya. Oleh itu, undang-undang boleh menyumbang untuk menjamin tingkah laku yang diingini dan mencegah perbuatan tidak diingini.

Pada masa sama, undang-undang juga boleh menyumbang kepada penyelesaian pertikaian dan menjadi pelindung kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Justeru, fungsi undang-undang paling utama ialah membentuk realiti sosial. Ia bermaksud keadaan sebenar, menjurus kepada kewujudan masyarakat yang diidamkan.

ISMAIL SABRI ketika menandatangani memorandum persefahaman bersama pemimpin parti politik pembangkang.

Dalam hal ini, undang-undang adalah alat untuk membentuk, merangka dan juga membina hampir semua bidang hubungan antara manusia pada peringkat individu dan institusi, selain membentuk masa depan masyarakat dan negara.

Bagi tujuan membuat undang-undang, norma kehidupan Keluarga Malaysia yang mempunyai pengaruh agama dan moral, serta identiti atau ideologi seperti termaktub dalam Perlembagaan

Persekutuan dan Rukun Negara menjadi perkara asas. Ini kerana, setiap undang-undang perlu berasaskan kepada realiti masyarakat.

Justeru, para legislator hendaklah membuat undang-undang yang boleh membentuk Keluarga Malaysia yang sejahtera, pada masa sama dapat menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Justeru, masa depan ­Keluarga Malaysia juga boleh dipengaruhi oleh undang-undang yang diwujudkan pada masa kini.

Pencapaian pentadbiran kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam konteks undang-undang adalah amat baik.

Ini kerana, pihak legislator berjaya meluluskan lebih kurang 40 Rang Undang-Undang termasuk beberapa undang-undang penting, tiga Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan

Persekutuan, termasuk bagi membaik pulih hubungan dalam sebuah negara dan banyak pindaan akta.

Kerajaan mungkin mendapat manfaat daripada memorandum persefahaman politik yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Namun, oleh kerana keadaan yang begitu dinamik, termasuk keadaan kesihatan awam dan politik, kerajaan sebenarnya telah menampilkan kekuatan tersendiri untuk bukan sahaja menggubal undang-undang biasa, tetapi berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan.

Kejayaan ini menjadi luar biasa kerana seperti yang kita sedia maklum, kerajaan ini adalah kerajaan ketiga dan dipersoalkan kepercayaannya pada awal pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

ISMAIL SABRI ketika bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat pada Julai lalu.

Kejayaan dalam gubalan undang-undang ini disertai juga dengan kejayaan mengukuhkan suatu rang undang-undang me­lalui jawatankuasa khas yang dilantik.

Perkara ini secara langsung telah mengukuhkan peranan Parlimen sebagai badan perundangan. Ini adalah satu bentuk pencapaian yang tinggi.

Gubalan undang-undang seperti yang berkaitan gangguan seksual yang telah sekian lama tergantung telah menunjukkan kejayaan pada kerajaan dan legislator.

Undang-undang ini adalah penting bagi Keluarga Malaysia kerana ia melibatkan kebebasan dan maruah diri keluarga Malaysia.

Bagi hal berkaitan kestabilan politik, kejayaan menggubal undang-undang anti tukar parti boleh dianggap satu kejayaan.

Walaupun undang-undang ini belum lagi pasti berjaya menghalang perubahan kerajaan pada masa akan datang, namun sekurang-kurangnya ia dapat ‘menyukarkan’ perkara ini untuk berlaku.

Undang-Undang berkaitan autoriti termasuk disiplin pasu­kan polis juga dapat diluluskan setelah melalui beberapa episod kontroversi pada pengenalan undang-undang itu pada masa kerajaan terdahulu.

RUU Generasi Penamat adalah antara usaha penting untuk menjaga generasi akan datang.

Ia adalah satu kejayaan kepada kerajaan yang memen­tingkan jaminan kesihatan kepada generasi akan datang.

Keterbukaan kerajaan untuk bersetuju merujuk RUU tersebut kepada suatu jawatankuasa khas adalah satu yang perlu dipuji dan diambil teladan.

Dalam pada itu, antara pencapaian utama Keluarga Malaysia ialah apabila Ismail Sabri mengumumkan terdapat 147 undang-undang yang perlu disemak semula.

Ia sebenarnya telah banyak dibicarakan secara ilmiah oleh para akademik dan amat di­sedari juga oleh para pengamal undang-undang di peringkat Peguam Negara dan peguam.

Segala pencapaian pastinya masih lagi wujudnya harapan.

Ini kerana, setiap pencapaian tidak semestinya menunjukkan sesuatu perkara itu perlu berhenti. Penambahbaikan kepada pencapaian menjadi harapan. Begitu juga dalam konteks undang-undang.

Apa yang penting di sini adalah pencapaian telah dilakukan dan kesinambungan juga perlu dilaksanakan.

Dengan terbubarnya Parlimen pada 10 Oktober lalu, maka beberapa perancangan kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri untuk membuat pembaharuan di dalam bidang undang-undang, termasuk memperkenalkan RUU Penda­naan Politik terhenti seketika.

Begitu juga dengan perancangan untuk memperkasakan Parlimen dengan mengembalikan undang-undang berkaitan pentadbiran Parlimen seperti Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 agar Parlimen menjadi lebih bebas.

Semoga mandat baharu yang dijangka diperoleh selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada 19 November ini akan membo­lehkan banyak pembaharuan dalam bidang undang-undang dapat diteruskan dengan lebih intensif dan komprehensif.

Penulis ialah Pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI