AMPANG – Cubaan seorang lelaki membunuh diri akhirnya gagal selepas dipujuk anggota bomba dalam kejadian di Jalan Maju 1/9, Taman Lembah Maju, di sini, hari ini.
Komander Operasi, Mohd. Firdaus Hidayat Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.17 tengah hari berhubung kejadian itu dan tiba di lokasi empat minit kemudian.
Seramai tujuh anggota dan tujuh jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pandan Indah digerakkan bagi menyelamatkan mangsa.
“Setibanya anggota di lokasi, mangsa dilihat sudah berada atas bumbung rumahnya jenis rumah teres dua tingkat.
“Anggota bomba berjaya memujuk dan menenangkan mangsa lelaki tempatan berusia 25 tahun itu daripada cubaan membunuh diri” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan seterusnya. -KOSMO! ONLINE














