PUTRAJAYA – Majikan sektor swasta tidak dibenarkan mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja kerana mengundi pada 19 November ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, mana-mana majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah subseksyen 25(1) Akta 5 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya menggesa semua majikan dalam sektor swasta untuk memberikan kebenaran kepada pekerja bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Kebenaran itu selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
“Majikan hendaklah berbincang bersama pekerja berkenaan dengan opsyen untuk pemberian “time-off”, hari pelepasan berganti atau cuti tahunan bagi tujuan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.-KOSMO! ONLINE