fbpx

Ratusan polis Serb letak jawatan di Kosovo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar diambil pada 19 September lalu memaparkan seorang wanita berjalan melepasi bendera kebangsaan Serbia yang dipamerkan pada tiang di bulatan di bandar Zvecan berhampiran Mitrovica. - AFP

PRISTINA, Kosovo – Beratus-ratus anggota polis keturunan Serb yang bekerja di pos sempadan Jarinje dan Brnjak di Kosovo bertindak menyerahkan surat peletakan jawatan beramai-ramai kelmarin, lapor laman berita Wion News.

Tindakan itu dilakukan sebagai membantah arahan kerajaan mewajibkan penggunaan nombor plat Kosovo dan bukan lagi yang dikeluarkan oleh Serbia.

Peletakan jawatan 300 anggota polis di bandar Mitrovica, utara Kosovo itu dilaporkan oleh media Serbia. Langkah itu merupakan sebahagian daripada gerakan etnik minoriti Serb untuk keluar daripada institusi kerajaan termasuk mahkamah, pasukan polis, parlimen dan agensi lain.

Beberapa ribu penduduk Serb turut berhimpun di Mitrovica Utara bagi membantah penggunaan mandatori nombor plat Kosovo. Mereka mengibarkan bendera dan memainkan lagu kebangsaan Serbia.

Isu nombor plat kenderaan yang berlanjutan sejak sekian lama telah mencetuskan ketegangan antara Serbia dan bekas wilayahnya, Kosovo. Negara itu mendapat kemerdekaan pada 2008 dan dihuni oleh etnik minoriti Serb di utara yang disokong oleh Belgrade.

Polis Kosovo mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya maklum bahawa anggota-anggota polis Serb telah meninggalkan pos kawalan dengan sebilangan mereka menyerahkan peralatan dan senjata masing-masing.

Perdana Menteri Albin Kurti menyalahkan Belgrade kerana cuba menggugat kestabilan Kosovo dengan menyokong etnik Serb memboikot institusi kerajaan.

“Saya sekali lagi meminta semua rakyat berketurunan Serb agar tidak meninggalkan institusi kerajaan dan tidak meletak jawatan kerana perkhidmatan kepada rakyat akan berkurangan,” katanya. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI