fbpx

K2

Hari Sukan Negara pupuk semangat kesukanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERTANDINGAN Tenpin Boling Sempena Hari Sukan Negara anjuran TDS berlangsung meriah di pusat beli-belah Brem Mall, Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.

MENYERTAI aktiviti sukan bukan sahaja dapat membantu menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Malah, ia mengajar nilai kerjasama antara pasukan, memupuk semangat bermasyarakat serta mengasah kemahiran berkomunikasi dengan baik.

Justeru, tidak hairanlah banyak aktiviti kesukanan telah dianjurkan bagi memenuhi objektif tersebut dengan disertai oleh pelbagai lapisan usia dan latar belakang masyarakat di negara ini.

Salah satunya adalah menerusi penganjuran Hari Sukan Negara yang diadakan setiap tahun pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Di Malaysia, Hari Sukan Negara bukanlah perkara baru kerana ia telah dilaksanakan sejak tahun 2015.

Sebenarnya, Hari Sukan Negara bukan sahaja diraikan di Malaysia, tetapi turut disambut di negara lain.

Ia sebagai menghormati pasukan sukan kebangsaan dan tradisi sukan di negara-negara berkenaan.

Bagi memberi sokongan kepada program sukan tersebut, Pertubuhan Teman dan Sahabat (TDS) Malaysia telah menganjurkan Pertandingan Tenpin Boling Sempena Hari Sukan Negara pada Oktober lalu.

Menurut Setiausaha Pertubuhan TDS, Mohd. Farid Md. Kassim, pihaknya menerima sambutan luar biasa daripada peserta yang kebanyakannya datang dari Lembah Klang.

“Kami menawarkan kategori berkumpulan yang disertai oleh 20 pasukan dan individu iaitu Men Open, Women Open, Men Veteran serta Women Veteran.

“Sebelum ini kami menganjurkan pertandingan boling khas untuk penduduk Taman Dato’ Senu sahaja. Melihat sambutan yang sangat baik, kami telah membuka lebih ramai penyertaan sempena Hari Sukan Negara kali ini,” kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

HASRIZAL (tiga dari kiri) menerima hadiah kemenangan daripada wakil TDS selepas pasukannya menjuarai Pertandingan Tenpin Boling Sempena Hari Sukan Negara.

Tambahnya, pertandingan boling itu disertai oleh pemain seawal usia 12 tahun, warga emas dan masyarakat berbilang bangsa, sekali gus menjadikanya acara berkenaan sangat unik.

Jelas Mohd. Farid, objektif penganjuran tersebut adalah untuk mengajak masyarakat supaya bersukan dan pada masa sama memupuk nilai-nilai murni dalam diri anak muda.

Di samping menawarkan hadiah dan wang kemenangan, pihak TDS juga menyediakan cabutan bertuah berupa tiga buah televisyen Full HD Android Smart LED TV berukuran 43 inci bernilai RM1,750.

Sementara itu, Ketua Pasukan Air Selangor Bowlerz 1, Hasrizal Nor Hassim melahirkan rasa kesyukuran selepas pasukannya dinobatkan sebagai juara.

“Pertandingan pada kali ini sangat menyeronokkan kerana bukan saja disertai oleh orang muda, tetapi golongan veteran juga turut menyertainya.

“Masing-masing memberikan saingan sangat sengit. Saya cukup kagum dengan stamina yang ditampilkan oleh golongan veteran, mereka sangat hebat,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.

Kongsi Hasrizal, setiap kali masuk bertanding, pasukan itu akan meletakkan sasaran untuk berada di tempat pertama hingga ketiga bagi membakar semangat pemain agar bermain sehabis baik.

Mengulas mengenai Hari Sukan Negara, Hasrizal berkata, penganjuranya perlu disebarluaskan dan orang ramai hendaklah menyokong dengan mengambil bahagian bagi membudayakan gaya hidup sihat.

“Penganjuran Hari Sukan Negara ini perlu diperbanyakkan lagi dan menyeluruh tidak kira di bandar atau kampung.

“Program ini sangat penting bagi membudayakan dan memupuk semangat kesukanan terutama dalam diri masyarakat sejak usia kanak-kanak,” ujarnya.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, aktiviti sukan dapat mengisi masa lapang anak-anak selain mampu mengelakkan mereka daripada melakukan aktiviti yanhg tidak bermoral.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI