fbpx

Beza parti, jangan sampai putus saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF

BAHANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kian terasa dan bermulanya kempen makan bermulalah pelbagai janji-janji manis ditawarkan setiap parti bertanding.

Tidak hanya di media sosial, aplikasi WhatsApp tetapi di kedai-kedai kopi turut menyaksikan perdebatan antara penyokong parti dalam menarik undi.

Bagaimanapun, perdebatan itu kadangkala boleh membuatkan silaturahim antara keluarga, jiran serta sahabat handai terputus apabila ia dilakukan secara berlebihan.

Malah, secara realiti pernah berlaku perbezaan politik menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus sehingga ada yang tidak bertegur sapa untuk satu tempoh masa yang lama.

Selain itu, ada juga sahabat penulis yang sanggup mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakan-rakan lain apabila berbeza ideologi politik dengannya sehingga menimbulkan pergaduhan kecil.

Bagi mereka, parti yang disokongnya yang betul dalam semua perkara dan mereka yang mendokong parti lain digelar dengan pelbagai gelaran.

Walaupun berbeza fahaman politik sebaiknya jangan sampai kita tidak bertegur sapa dan saling bermusuhan dengan keluarga ataupun sahabat handai.

Kita perlu ingat bahawa, mungkin mereka ini yang akan menguruskan jenazah kita pada hari esok dan wakil rakyat yang mendapat keuntungan atas undi kita belum tentu akan berbuat demikian.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, hasil ketidakmatangan politik serta terlalu taksub kepada parti boleh menyebabkan silaturahim antara insan terputus.

Menurutnya, ketidakmatangan dan ketaksuban ini menyebabkan seseorang itu me­nganggap partinya sahaja betul dan yang lain salah.

“Sebaliknya kita perlu raikannya secara demokrasi kerana masing-masing mempunyai kepelbagaian pendirian, sikap dan ideologi politik.

“Sebagai sebuah negara demokrasi kita tidak boleh memaksa orang untuk menerima idea, pandangan atau pendirian parti yang disokong,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata, oleh itu pentingnya ­literasi politik sebagai salah satu cara untuk memberikan pence­rahan kepada pengundi dan penyokong parti.

Melalui kaedah tersebut, ia akan membuat mereka lebih peka dan memahami dengan le­bih baik terhadap demokrasi dan tidak menjadi seorang ahli yang terlalu taksub kepada partinya sendiri sehingga terlalu emosi dan berfikiran tidak rasional untuk memaksa orang lain menerima apa dikatakan.

“Sebaiknya ia harus melalui dialog yang bijaksana dan mampu memberikan pencerahan terhadap sesuatu perkara dengan fakta dan hujan dan bukannya bersandarkan sentimen dan putar belit semata-mata.

“Fakta dan hujah itu bukanlah bersifat auta dan walaupun berbeza pendapat serta ideologi politik silaturahim harus dijaga dan jangan sampai putus,” jelasnya.

Sementara itu, Awang Azman menasihati agar pengundian tidak boleh dilakukan secara emosi dan ia merupakan hak rakyat yang perlu dilakukan me­lalui pemikiran yang rasional dan penilaian yang kritis berteraskan agenda negara bangsa.

Pembentukan sebuah negara yang meraikan proses demokrasi itu sendiri harus dapat memberikan kestabilan dari segi jangka masa panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI