fbpx

Piala Malaysia: Terengganu ungguli aksi ‘panas’ di Cheras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara aksi menarik yang dipamerkan KL City dan Terengganu pada aksi suku akhir Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumput, sebentar tadi. Terengganu menang 1-0. - AMIR KHALID.

JUARA bertahan, Kuala Lumpur menempah laluan penuh liku selepas tewas 1-0 kepada Terengganu pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Sepanjang 90 minit permainan, kedua-dua pasukan jelas menyerlahkan kualiti tersendiri untuk menepati reputasi sebagai perlawanan yang dilabel aksi tumpuan.

Perlawanan ini juga seperti menjadi pentas menyinar buat bintang import pelawat, Kpah Sherman yang muncul wira skuad Peteh sekaligus mengukuhkan namanya sebagai pendahulu senarai penjaring terbanyak, mengumpul enam gol.

Di awal permainan, Terengganu seakan membiarkan tuan rumah bermaharajalela untuk tempoh 10 minit awal sebaliknya beberapa peluang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan.

Minit ke-14, situasi kelam kabut dalam kotak penalti KL City menyaksikan Sherman terus menggegar apabila meledak gol keenam peribadinya sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini untuk meletakkan Terengganu di depan.

Seterusnya, skuad Peteh nyata pasukan yang lebih baik, mempamerkan aksi tersusun namun kecemerlangan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza berjaya menafikan beberapa lagi peluang merbahaya dicipta Terengganu.

Sekali pun ketinggalan, KL City menyambung perlawanan dengan cukup tenang sebaliknya terus dikecewakan oleh gerakan akhir dan sentuhan penyudah.

Minit ke-62, aksi bertambah ‘panas’ apabila penjaga gol Terengganu, Mohd Suhaimi Husin dilayangkan kad merah namun penggantinya, Mohd Shamirza Yusoff juga membuktikan dirinya miliki kualiti sama selepas melakukan aksi menyelamat berganda, bermula dengan sepakan percuma Paulo Josue dan tindakan susulan daripada Giancarlo Gallifuoco.

Lebih 4,000 penonton yang hadir terus dihidangkan dengan permainan berkualiti tinggi tetapi tiada lagi tambahan jaringan mampu dihasilkan.

Sejurus wisel penamat ditiupkan, aksi bertambah panas apabila berlaku pergeseran diantara pemain serta pegawai kedua-dua pasukan namun situasi tegang itu tidak berlarutan apabila berjaya dileraikan oleh pihak polis. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI