fbpx

Kempen terus masuk ‘gear lima’ – Radzi Jidin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi dan isteri, Balkis Zakaria bergambar bersama peserta Kejohanan Taekwando Terbuka Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 11, di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Calon Perikatan Nasional (PN) P.125 Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin mengakui sudah menggerakkan jentera kempennya terus pada ‘gear lima’ dan berharap dapat mengekalkan prestasi sehingga hari pengundian, 19 November depan.

“Saya masuk kempen ‘gear lima’ terus. Insya-Allah saya akan kekalkannya sampai 19 November ini. Doakan saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Taekwando Terbuka Putrajaya, di sini hari ini.

Katanya, selepas selesai proses penamaan calon semalam, beliau sudah menggerakkan seluruh jentera kempennya dengan menyantuni penduduk dan masyarakat sekitar.

Nombor lima dilihat simbolik kepada perjuangan Radzi di Putrajaya terutama dalam misinya menamatkan legasi penyandang empat penggal, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pada hari penamaan calon semalam, Radzi diumumkan sebagai calon nombor lima dan beliau menganggap angka itu juga mempunyai signifikan bagi menamatkan dominasi parti lawan yang ‘beraja’ di sini dalam empat pilihan raya umum lalu.

Radzi berkata, beliau bukan orang asing di Putrajaya kerana sudah menetap di sini bersama keluarga sejak 2018 selepas pulang dari Australia.

Menurutnya, beliau bersama keluarga mulanya menetap di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Larai, Presint 5, di sini sebelum pindah ke kuarters kerajaan di Presint 10.

“Saya faham dan sudah menyelamai masalah penduduk di sini sejak lima tahun lalu. Banyak masalah dibangkitkan termasuk isu pengangkutan awam, selenggara kuarters dan ruang ekonomi kepada anak muda.

“Masih banyak perkara dan ruang untuk kita tambah baik bagi melonjakkan Putrajaya ditempat yang sepatutnya. Putrajaya sepatutnya dijadikan contoh sebagai model pembangunan inklusif,” katanya.

Ujar beliau, selepas diwakili oleh ahli Parlimen sama sejak empat penggal lalu, beliau menawarkan diri berkhidmat dengan naratif idea lebih segar dan pendekatan baharu kepada penduduk di Putrajaya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI