fbpx

PM tunai impian kami dapat rumah sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail SABRI (dua dari kiri) dan Reezal Merican (dua dari kanan) melihat replika perumahan rakyat selepas Majlis Pecah Tanah PPR Kepala Batas di Seberang Perai pada Rabu lalu. – IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Seperti keluarga lain, Mohd. Farhan Ismail dan isteri, Norliza Abdullah mengimpikan untuk memiliki rumah mereka sendiri selepas lebih 10 tahun menyewa serta hidup berpindah-randah dari satu tempat ke tempat yang lain.

Lantaran itu, Mohd. Farhan, 44, dan Norliza, 40, telah membuat permohonan untuk mendapatkan satu unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) lebih setahun lalu.

Mohd. Farhan berkata, jika tiada kediaman PPR, mungkin keinginannya untuk miliki rumah sendiri hanya tinggal impian kerana nilai hartanah yang terlalu mahal di Pulau Pinang ketika ini.

“Alhamdulillah, rezeki kami sekeluarga apabila permohonan PPR itu telah diluluskan kerajaan. Mungkin ini rezeki anak ketiga kami yang dijangka lahir awal tahun depan.

“Kami juga berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) kerana memberi peluang untuk kami memiliki rumah sendiri,” katanya kepada Kosmo!.

Pada Rabu lalu, Ismail Sabri hadir pada Majlis Pecah Tanah PPR di Kepala Batas di sini. Hadir sama, Reezal Merican.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, projek PPR Kepala Batas itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan tempat kediaman untuk golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan dan belum memiliki rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM170 juta bagi membangunkan PPR berkenaan.

Projek itu meliputi 700 unit rumah pangsa empat tingkat termasuk tujuh unit rumah bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) di atas tanah seluas lebih lapan hektar di Pongsu Seribu, Seberang Perai Utara milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang.

Kos pembinaan seunit rumah seluas 700 kaki persegi yang dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur itu adalah RM161,000, tetapi ia dijual pada harga RM45,000 seunit.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyempurnakan majlis pelancaran pecah tanah bagi pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC).

Bagi seorang ibu tunggal, Maimun Mat Ali, 47, berkata, peluang untuk memiliki kediaman sendiri melalui unit rumah PPR yang disediakan kerajaan umpama bulan jatuh ke riba.

“Saya ada empat orang anak dan tiga daripada mereka masih bersekolah. Rumah yang kami sewa sebelum ini agak sempit dan hanya mempunyai dua bilik berbanding rumah baharu (PPR) nanti yang ada tiga bilik.

“Jadi, apabila ditawarkan rumah PPR itu pada harga mampu milik, sudah tentu saya sangat gembira,” katanya yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Seorang warga emas, Siti Fatimah Bakar, 63, pula memberitahu, pembangunan rumah PPR khususnya di kawasan Kepala Batas sangat ditunggu-tunggu oleh penduduk di sini.

“Sudah lama saya tunggu kawasan ini membangun. Alhamdulillah, tercapai juga hasrat. Semoga lebih banyak projek pembangunan akan dibuat di Kepala Batas selepas ni.

“Kami bertuah kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang menjaga kebajikan rakyat serta wakil rakyat yang sangat prihatin,” katanya.

Zaiton Ismail, 56, pula berkata, projek pembangunan seperti rumah PPR sangat bermanfaat kepada penduduk setempat.

“Saya harap lebih banyak perumahan dibangunkan selepas ini kerana saya tahu masih ramai yang belum memiliki rumah sendiri ketika ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI