fbpx

Sembuh lepas 411 hari dijangkiti Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita menerima suntikan dos penggalak di Hospital Universiti Coventry, England pada 22 April lalu. - AFP

LONDON – Pasukan penyelidik Britain mengumumkan semalam bahawa seorang lelaki yang dijangkiti Covid-19 selama 411 hari akhirnya sembuh selepas mereka memberikan rawatan berdasarkan analisis genetik koronavirus di dalam badan pesakit.

Jangkitan Covid Berterusan (PCI)  yang dialami pesakit  adalah berbeza daripada sindrom ‘long Covid’ mahupun jangkitan berulang-ulang virus itu.

PCI berlaku dalam segelintir pesakit yang mempunyai lemah sistem imunisasi.

“Mereka ini positif ujian saringan Covid-19 selama berbulan-bulan, malah sehingga beberapa tahun.  

“Jangkitan ini boleh mendatangkan ancaman serius  kerana sekitar separuh daripada keseluruhan pesakit PCI mengalami simptom berterusan seperti radang paru-paru,” kata pakar penyakit-berjangkit, Luke Snell sambil menambah, tidak banyak yang diketahui tentang PCI.

Dalam kajian baharu yang disiarkan jurnal Clinical Infectious Diseases, pasukan penyelidik terbabit menceritakan bagaimana lelaki berumur 58 tahun itu berjaya sembuh selepas dijangkiti Covid-19 selepas lebih 13 bulan.

Lelaki itu yang mempunyai imunisasi lemah disebabkan pemindahan ginjal, dijangkiti Covid-19 pada Disember 2020 dan berterusan positif ujian saringan sehingga Januari tahun ini.

Bagi mengenal pasti sama ada pesakit dijangkiti Covid berulang kali atau dia menghidap PCI, pasukan penyelidik melakukan ujian analisis genetik bersama teknologi jujukan nano.

Ujian itu yang menghasilkan keputusan dalam tempoh singkat 24 jam, menunjukkan lelaki itu dijangkiti varian awal B.1 yang dominan pada akhir 2020 .

Oleh kerana pesakit dijangkiti varian awal Covid-19, pasukan penyelidik memberikan kombinasi ubat antibodi casirivimab dan imdevimab daripada Regeneron.

Seperti kebanyakan rawatan antibodi lain, rawatan itu tidak lagi digunakan secara meluas kerana ia sudah tidak berkesan terhadap varian baharu Covid-19 seperti Omicron.

Bagaimanapun, kombinasi ubat itu berkesan kepada pesakit tersebut. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI