fbpx

Hobi Masayu jana hasil RM35,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Minat yang mendalam dalam bidang gubahan bunga selain meminati suasana cantik dan menyenangkan menjadi pendorong utama Masayu Ismail, 40, berkecimpung dalam perniagaan.

Beliau yang mengusahakan kedai gubahannya, Ayu Décor di Puncak Alam itu mengakui tidak menjangkakan sesuatu yang dianggap sebagai hobi boleh berubah dan dijadikan punca pendapatan.

Menurutnya, beliau pada mulanya hanya menyukai benda-benda yang cantik terutama melibatkan bunga lebih-lebih apabila digubah agar kelihatan berseri.

“Pada masa terluang, saya akan memanfaatkannya dengan menghasilkan gubahan-gubahan bunga dan akan kongsikan bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Tidak sangka, hobi menggubah hiasan bunga terus dijadikan sumber pendapatan yang menguntungkan setelah hasil kerja tangan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan,” katanya.

Menurut Masayu, kualiti kerja serta kreativiti yang tinggi dalam menghasilkan gubahan bunga menjadi faktor utama sambutan hasil kerja tangannya diterima ramai.

“Saya amat mementingkan kualiti dalam setiap kerja yang saya lakukan. Setiap tempahan yang diterima akan disiapkan dengan kadar segera dengan memastikan gubahan akhir menepati citarasa dan berpatutan dengan harga yang dipersetujui oleh pelanggan.

“Bahan-bahan yang digunakan juga berkualiti tinggi seperti bunga latex (premium) kerana lebih cantik, tahan lama dan mudah untuk dibersihkan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Masayu berkata, beliau kerap berkunjung ke luar negara semata-mata untuk mendapatkan inspirasi selain mendapatkan sendiri bahan-bahan baru bagi memastikan perkhidmatannya memiliki kelainan.

“Antaranya adalah Guangzhao, China; Jakarta dan Bandung (Indonesia); serta Bangkok di Thailand. Kesemua tempat itu sering saya kunjungi kerana gubahan yang dihasilkan di sana lebih up to date (terkini) dan boleh diperkenalkan di Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, Ayu Décor sebelum ini telah menerima tempahan dua kali ganda terutama ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Alhamdulillah rezeki saya melimpah sepanjang bulan Ramadan lalu, kebanyakan tempahan datang dari gerai jualan yang dibuka khusus di kompleks membeli-belah dan juga dari ejen-ejen jualan yang dilantik.

“Biasanya pendapatan bulanan saya sekitar RM35,000, namun pada bulan Ramadan saya memperoleh pendapatan dua kali ganda daripada bulan-bulan biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Masayu berkata, beliau amat beruntung kerana mendapat pinjaman dan bimbingan perniagaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak mula bergelar usahawan.

“Pada 2016, saya meminjam RM3,000 sebagai modal awal untuk berniaga. Sejak itu, perniagaan saya terus berkembang dan terus mendapat bantuan modal daripada AIM dengan anggaran keseluruhan sebanyak RM100,000.

“AIM juga banyak beri bimbingan dan memantau perniagaan saya dari semasa ke semasa,” jelasnya yang turut mengusahakan perniagaan katering dan produk makanan menerusi Ayu Kitchen.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan khidmat gubahan bunga Ayu Décor, boleh melayari Facebook; Masayu Ismail, Instagram; masayuismail_ atau WhatsApp di talian 017-660 6968. -KOSMO! ONLINE

POPULAR