fbpx
SYAHARUDDIN menunjukkan gambar terakhir arwah adiknya bersama keluarga yang dirakam di kampung halaman mereka di Semporna, Sabah pada tahun 2016.

Lima tahun cari adik, yang jumpa hanya jasad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Luluh hati seorang abang apabila adik pe­rempuan yang dicari selama lebih lima tahun akhirnya ditemui hanya selepas saudara kan­dungnya itu terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 24, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.21 pagi itu, Nuratika Arsad, 27, dan seorang anaknya, Muhammad Daeng Andi Makita Nuh Annas Andri, 3, disahkan meninggal dunia selepas kereta Proton Wira dipandu suami, Andri Bacho, 30, terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

Kejadian itu turut menyebabkan kandungan Nuratika yang sudah mencecah usia enam bulan tidak dapat diselamatkan, manakala Andri dan tiga lagi anak mereka cedera.

Menurut Syaharuddin Arshad, 34, mereka memang sudah lama mencari Nuratika termasuk menghebahkannya melalui Facebook komuniti setempat pada tahun 2017, namun tiada maklumat yang diterima selepas itu.

“Kami 10 beradik, enam me­rantau dari Kampung Bubul Lama, Semporna ke Semenanjung Malaysia. Kali terakhir kami berkumpul adalah pada tahun 2016 di Semporna. Selepas itu, adik (Nuratika) tidak dapat dihubungi setelah mereka suami isteri menukar nombor talefon.

“Pagi tadi (semalam), saya terkejut mendapat khabar ini dan segera menghubungi mak di Semporna. Mak pun seolah tidak percaya dan bertanya benarkah adik terbabit dalam kemala­ngan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini semalam.

GAMBAR kenangan Nuratika Arsad (tengah) bersama ahli keluarganya.

Sementara itu, adik Andri dikenali sebagai Daieng Rani Bacho, 26, yang berasal dari Tawau berkata, dia bergegas ke Kuala ­Pilah dari Penggerang, Johor sebaik mengetahui abangnya terbabit dalam kemalangan itu.

“Tak sangka kami akan bertemu dalam keadaan begini setelah lama mencari. Abang (Andri Bacho, 30) dikatakan asyik mena­ngis. Keadaan abang yang dirawat di wad hospital yang sama agak teruk.

“Lutut abang pecah, manakala tiga anaknya berusia lima hingga lapan tahun pula cedera serta dirawat di wad hospital yang sama. Semua sudah tahu mengenai kejadian ini dan mereka menangis. Ketika kejadian, mereka baru sahaja keluar berjalan-jalan dan mahu pulang ke rumah sewa di Sri Menanti,” katanya.

Menurutnya, kesemua jena­zah akan dibawa pulang ke Sabah untuk dikebumikan dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) yang menanggung kos bagi urusan tersebut selepas semua prosedur di Jabatan Forensik HTAN selesai.

KEADAAN kereta dinaiki lima beranak yang remuk teruk selepas melanggar sebatang pokok di Jalan Seremban-Kuala Pilah, Kuala Pilah semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superinten­dan Amran Mohd. Ghani berkata, kemalangan berkenaan membabitkan kereta jenis Proton Wira yang dinaiki sebuah keluarga dan dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Kuala Pilah.

Menurutnya, sebaik sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan arah bertentangan sebelum me­langgar sebatang pokok di bahu jalan.

“Impak kemalangan menyebabkan dua penumpang ke­reta mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu pula mengalami kecederaan patah kaki kiri dan tiga penumpang yang lain mengalami kecederaan ringan dan masih menerima rawatan di HTAN,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN