fbpx

Getaran Jiwa bukan cari pengganti P. Ramlee, Saloma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENAGA produksi program realiti pertandingan Getaran Jiwa yang bersiaran bermula 21 Oktober 2022 lalu.

BERDEKAD menemani halwa telinga ramai, karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma sentiasa malar segar hingga ke hari ini.

Tidak hairan TVS iaitu TV Sarawak merealisasikan sebuah program berjudul Getaran Jiwa yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira had usia untuk berkongsi bakat nyanyian lagu dua bintang legenda tersohor itu.

Penasihat Kandungan Kreatif TVS, Adlan Shaharir berkata, format program tiada had umur secara tidak langsung mampu menyemarakkan kegemilangan karya penghibur legenda itu dalam kalangan masyarakat, tanpa mengira tua atau muda.

Katanya, lebih 600 calon awal telah mencuba nasib, termasuk peserta paling berusia iaitu 58 tahun yang berani menyahut cabaran pertandingan nyanyian Getaran Jiwa.

“Peserta kami berusia antara 20 tahun hingga 58 tahun. Kami sengaja tidak meletakkan had umur kerana kita tahu karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee digemari semua lapisan umur.

“Peminat lagu P. Ramlee bersifat universal membuatkan kami buka peluang kepada sesiapa sahaja asalkan berkebolehan menyanyi dan menyampaikan lagu dengan cara tersendiri,” katanya ketika pelancaran program, baru-baru ini.

Getaran Jiwa yang dikendalikan Sissy Imann dan Jiggy Masin bersiaran menerusi saluran 122 Astro dan MYTV mulai 21 Oktober lalu.

Penjurian Getaran Jiwa diketuai penyanyi, Datuk Nash, manakala Fauzi Marzuki, Noraniza Idris, Fauziah Latiff, Ayai Ilusi dan Liza Hanim selaku juri jemputan.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000, naib juara (RM15,000), tempat ketiga (RM10,000), manakala sagu hati (RM5,000).

Tambah Adlan lagi, pemenang Getaran Jiwa mempunyai potensi diketengahkan dalam mana-mana program TVS selepas ini mengikut kesesuaian bakat.

Sementara itu, Penerbit Penyelaras Getaran Jiwa, Yume Suryani berkata, pihaknya tidak menjanjikan kontrak rakaman kepada pemenang.

Sebaliknya, TVS akan memberi pendedahan melalui pembabitan mereka dalam program hiburan membabitkan stesen itu.

Objektif Getaran Jiwa bukan untuk mencari penyanyi rakaman atau pengganti seniman legenda mahu pun isterinya, ia lebih kepada memartabatkan lagu P Ramlee dan Saloma.

“Kami bukan ingin mencari ‘the next’ (pengganti) P. Ramlee atau Saloma.

“Kami hanya ingin mencari mereka yang boleh menyampaikan lagu dua bintang legenda itu dengan cara tersendiri,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat TVS, hanya dua peserta bakal dipilih setiap minggu untuk membolehkan mereka mara ke peringkat akhir.

Persembahan peserta dinilai melalui sistem pemarkahan dikenali sebagai Jiwa Meter yang terbahagi kepada 70 peratus markah juri profesional dan 30 peratus sumbangan juri awam yang mengundi secara dalam talian.

Program Getaran Jiwa bakal dipancarkan secara langsung dari Kuching, Sarawak selama lapan minggu berturut-turut.
Rata-rata peserta berasal dari Sabah dan Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI