fbpx

Mahkamah: Pendakwaan tutup kes, nasib Bainun diketahui 24 Nov.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun (kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Selepas 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down Bella menutup kes hari ini.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan menutup kesnya selepas saksi ke- 22 iaitu juruteknik sebuah syarikat penapis air Mohamed Rezuan Satori, 25, selesai memberi keterangan.

“Dengan berakhirnya keterangan saksi ke-22 hari ini, pihak pendakwaan menutup kes,” kata Nor Azizah.

Berikutan itu, Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 18 November sebelum mahkamah membuat keputusan diakhir kes pendakwaan pada 24 November ini.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan kemudian telah menawarkan seramai 15 saksi kepada pihak pembelaan antaranya beberapa bekas penghuni Rumah Bonda dan rakan Siti Bainun.

Dalam prosiding hari ini, barisan peguam yang mewakili Siti Bainun diketuai Nur A’minathul Mardiah Md Nor.

Untuk rekod perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lalu (2022) dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah mangsa iaitu Bella, pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Selain itu ialah bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima.

Dalam keterangannya sebelum ini, Yasmin pernah memberitahu mahkamah bahawa Bella didera Siti Bainun dan kejadian itu sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Semasa perbicaraan kes itu juga, Hakim Izralizam pada April lalu pernah memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes itu yang ketika itu sedang berlangsung.

Peringatan itu dikeluarkan selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah orang ramai masih membuat hantaran di laman sosial berhubung kes tersebut seperti ‘JusticeforBella’.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI