fbpx
Feri yang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi terkandas kira-kira 500 meter dari Terminal Feri Kuala Kedah, petang ini.

[VIDEO] Lagi kejadian feri terkandas di muara Kuala Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Feri membawa seramai 131 penumpang terkandas selepas mengalami kerosakan akibat tersangkut pada kabel boya kapal pengerukan berhampiran Terminal Feri Kuala Kedah pada pukul 4 petang tadi.

Ketika kejadian, feri tersebut dalam perjalanan dari terminal Kuala Kedah ke Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kap­ten Baharin Baharom berkata, kejadian itu menyebabkan kerosakan pada kipas enjin feri.

Katanya, pihak feri sedang berusaha memanggil bot tunda untuk menarik feri yang tersangkut kira-kira 500 meter dari Terminal Feri Kuala Kedah.

“Kita telah memaklumkan insiden ini kepada Jabatan Laut dan meminta bantuan daripada bot nelayan untuk mengeluarkan kesemua penumpang sebelum air surut sepenuhnya,” ujarnya.

Katanya, pihaknya bagaimanapun tidak sempat memindahkan semua penumpang untuk menaiki feri pada pukul 5 petang tadi.

“Ini kerana kapal tunda mengalami kesukaran untuk rapat pada feri kerana berisiko untuk turut tersangkut pada kabel tersebut,” jelasnya.

Menurutnya, kesemua penumpang yang terkandas akan diberikan penginapan oleh pihak feri dan dibenarkan menaiki feri pada pukul 2 petang esok.

“Insiden ini baru sahaja berlaku pada Selasa lalu pada kedudukan sama, namun ibarat tidak diambil pengajaran apabila tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak kontraktor pengerukan,” ujarnya.

Tambahnya, kos ganti rugi dan pembaikan yang tinggi terpaksa dikeluarkan setiap kali berlaku insiden tersebut.

“Kami akan berbincang dengan peguam untuk nasihat adakah boleh kami menyaman kontraktor pengerukan.

“Isu ini memberi nama buruk kepada syarikat kami dan nama Langkawi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR