fbpx
PENGANTIN baharu, Sweet Qismina dan Adam Lee.

Adam Lee, Sweet Qismina saling menjaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALUNAN melodi zikir mengiringi langkah tatkala tiba ke dewan tempat berlangsungnya akad nikah pasangan pelakon popular, Sweet Qismina dan Adam Lee di The Boathouse, Tasik Ampang pada Isnin lalu menimbulkan rasa damai.

Sederhana, namun cukup meriah, majlis tersebut menyaksikan penyatuan dua jiwa yang sudah empat tahun menyulam cinta dan setahun mengikat tali pertunangan.

Hanya dengan sekali lafaz, Sweet dengan nama lengkapnya Farhanna Qistina Supandi sah bergelar isteri kepada Adam Lee atau Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee.

Pasangan itu dinikahkan abang kandung Sweet, Fahed Ashraf Supandi sambil disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan merangkap Imam Satu Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Selangor, Ustaz Mohamad Khairi Hussein.

Usai lafaz nikah disebut Adam, Sweet yang ditemani ibu tercinta di atas pelamin gagal menahan sebak sehingga menitiskan air mata tanda syukur atas ikatan suci yang terbina.

SELAIN tiada cabaran bertunang, Sweet juga bersyukur kerana selama empat tahun berkawan, hubungan mereka langsung tidak mempunyai masalah.

Pada majlis pernikahan mereka, Sweet menerima mas kahwin bernilai RM2,410.97, simbolik untuk tarikh lahirnya pada 24 Oktober 1997.

Bagaimanapun, wang hantaran pasangan itu tidak didedahkan.

Bercakap tentang hari bahagia, Adam berkata, dia sendiri yang memilih tarikh tersebut untuk diabadikan sebagai memori paling indah.

“Saya pilih bernikah pada hari lahir Sweet sebab pada tarikh ini, mama dia lahirkannya ke dunia.

“Jadi sekarang bersambung kepada saya. Saya ambil tanggungjawab itu daripada mama untuk menjaganya selepas ini,” ucap Adam sambil tersenyum bahagia di sisi isteri tercinta.

Sepanjang tempoh perkenalan sehinggalah ke hari bahagia, pasangan itu memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana langsung tidak berdepan sebarang cabaran yang memungkinkan berlakunya konflik dalam perhubungan.

Kata pelakon berusia 28 itu, mereka sangat menitikberatkan kejujuran dan toleransi antara satu sama lain.

BIARPUN kurang tidur malam, Adam dan Sweet berasa berbaloi dengan hasil kerja menguruskan sendiri majlis pernikahan mereka tanpa bantuan perunding perkahwinan.

“Dalam sesebuah perhubungan bagi saya perlu ada sifat jujur dan adil. Lagipun niat sewaktu mula bercinta dahulu, memanglah untuk menghalalkan hubungan. Jadi sifirnya mudah, jujur dan jangan menipu,” kata Adam.

Atas dasar itu juga, selama empat tahun bercinta, hubungan mereka tidak pernah berdepan gangguan orang ketiga mahupun konflik yang merisikokan berlakunya pergaduhan.

“Apabila bersikap jujur, orang pun tak ganggu hubungan kami. Alhamdulillah, tiada orang ketiga sebaliknya ramai yang mendoakan kami.

Kami langsung tidak berdepan sebarang masalah selama ini.

“Malah orang sekeliling juga menghormati hubungan kami. Dari situ, masing-masing tahu dan saling menjaga batas,” tambah Sweet.

SWEET dan Adam merancang untuk berbulan madu di Maldives atau Eropah sekitar Disember ini atau awal tahun depan.

Karier, batasan

Selepas bergelar suami isteri, pasangan yang pernah mencipta fenomena menerusi drama rantaian Bidadari Salju (2020) itu berkata, batasan dalam karier tetap sama ketika mereka belum bernikah.

Sewaktu tempoh pertunangan, Adam pernah menarik diri daripada membintangi sebuah drama yang menuntutnya melakonkan babak intim pasangan suami isteri.

“Sebelum bernikah lagi, kami memang sudah jaga batas. Saya elak terima naskhah yang memerlukan babak intim berlebihan,” jawab Adam yang turun sebanyak 10 kilogram (kg) sebelum bernikah kerana menjayakan tiga buah projek membabitkan banyak babak aksi.

Tambah Sweet pula, tempoh setahun pertunangan memberi ruang buat mereka belajar banyak perkara baharu.

Paling penting, mereka sentiasa berbincang lakonan adalah sumber rezeki mereka selama ini.

“Berlakon ini satu kerjaya, jadi kami tak boleh elak kalau ada babak tentang hubungan dalam sesebuah naskhah. Paling penting, kena tahu jaga batas dan apa yang patut atau tidak selepas ini.

USAI majlis akad nikah, Adam sempat menyanyikan lagu hari lahir sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-25 buat isterinya, Sweet Qismina.

“Bila berlakon, kita boleh berbincang dengan pengarah untuk mengubah perkara yang dirasakan tidak sesuai tanpa mengganggu jalan cerita.

“Tapi kami tidaklah pernah halang dan cakap tak boleh buat itu ini. Cuma, contohnya kalau ada laga pipi, sebenarnya ada cara lain boleh diubah untuk lakukan babak itu,” jelasnya.

Sama seperti pasangan lain, Sweet dan Adam juga tidak terburu-buru soal zuriat dan meletakkan sepenuhnya terhadap aturan rezeki kepada Tuhan.

Selepas majlis akad nikah dan resepsi yang akan berlangsung pada Sabtu ini, mereka akan kembali bekerja pada November depan.

Justeru, perancangan bulan madu terpaksa ditangguhkan sama ada pada Disember atau awal tahun depan.

“Lokasi bulan madu sama ada Maldives atau negara-negara Eropah. Sepatutnya selepas akad nikah dan resepsi tetapi kerana kekangan kerja, jadi kami tunda dahulu.

“Tapi tiada masalah pun kalau tunda, sebab sekarang dah ‘terikat’ sehidup semati, jadi bila-bila pun boleh pergi,” seloroh Sweet.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN