fbpx

Anak muda mahu YB berilmu, ada integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRU15 bakal menyaksikan penampilan ramai calon-calon muda. - GAMBAR HIASAN
WARTAWAN EKSEKUTIF KOSMO! DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

Sejak gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipalu pada 10 Oktober lalu, perang psikologi mula dilancarkan empat blok politik yang dianggap dominan dengan menimbulkan pelbagai dakwaan dan spekulasi bagi pengundi.

Ini termasuklah ‘cakap-cakap’ dicetuskan Pakatan Harapan (PH) mengenai ‘X’ atau ‘Y’ yang akan diangkat Barisan Nasional (BN), sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan baharu.

Kini, setiap parti dilihat sibuk dengan pengumuman calon-calon yang dirasakan mampu mempertahankan atau merebut kerusi di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tetapi, sejauh mana pula usaha setiap blok berkenaan dalam memastikan calon mereka akan dipilih rakyat?

Sudah cukupkah usaha memastikan peluang kemenangan berada pada tahap 50-50, atau formulanya masih sama dengan BN yang dilihat lebih dominan berdasarkan kemenangan pada Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Johor dan Melaka?

Adakah hebahan me­ngenai kepentingan peranan setiap rakyat khususnya pengundi baharu, termasuk 3.8 juta orang mewakili golongan muda berusia 18 tahun telah cukup dilakukan?

Dan adakah setiap parti te­lah menjalankan usaha-usa­ha dalaman untuk mencari apa yang dimahukan golongan itu?

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi dan Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah, Dr. Mohd. Sufiean Hassan berkata, berdasarkan kajian membabitkan 384 mahasiswa, rata-ratanya menyatakan ke­sediaan untuk keluar mengundi, namun penekanan diberikan kepada golongan itu masih kurang.

“Pelepasan lima hari diberikan kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) untuk pulang mengundi pada PRU15 nanti adalah satu usaha yang baik dan dijangka sebanyak 70 hingga 80 peratus daripada­nya akan keluar mengundi.

“Namun, senario semasa politik sehingga hari ini dilihat masih sibuk dengan pengumuman calon parti masing-ma­sing, manakala penekanan atau hebahan mengenai kepentingan undian pengundi baharu dan Undi18 itu masih kurang,” katanya.

Katanya, melalui soal selidik dilakukan itu, setiap blok dilihat mempunyai peluang sama rata sekiranya berjaya membuktikan kepada golo­ngan muda mengenai kemampuan membentuk dasar-dasar baharu yang lebih rasional, sekali gus dapat direalisasikan.

“Dua perkara utama dimahukan oleh golongan ini adalah sebuah kerajaan yang mampu mengukuhkan ekonomi.

“Keduanya pula adalah isu calon pendidikan tinggi bagi membentuk dasar-dasar baharu.

“Sebaiknya mereka yang dijadikan calon haruslah mempunyai sarjana atau sekiranya sekadar ijazah sarjana muda ia haruslah dimantapkan dengan pengalamannya untuk membentuk sebuah kerajaan stabil serta kompetan,” katanya.

Tambahnya, parti juga sebaiknya tidak meletakkan calon-calon ‘kroni’, sebaliknya memberi peluang kepada muka-muka baharu yang lebih berkaliber.

Ujarnya meskipun menta­liti itu sukar diubah, namun ia mesti dilaksanakan sekiranya sesebuah parti mahu kekal re­levan dan mendapat undian daripada golongan muda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI