DALAM sesuatu perkahwinan, setiap pasangan pasti mengharapkan ikatan yang dibina itu berkekalan sehingga ke akhir usia.
Namun, tidak semuanya indah dan ada ikatan suci yang terlerai jua.
Hal itu turut berlaku kepada Amira (bukan nama sebenar) apabila perkahwinan bersama suami tercinta, Nedim (bukan nama sebenar) terpaksa dinoktahkan dengan perpisahan.
“Hidup bersama lelaki yang panas baran dan kaki perempuan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Sepanjang bersama dengannya saya telah memberinya peluang beberapa kali tetapi ia tidak dihargai dan dipersiakan begitu sahaja,” kata Amira yang berusia awal 30-an.
Amira menjelaskan, dia dan suaminya berkenalan melalui satu aplikasi ‘dating’ sebelum menjalinkan hubungan yang serius.
“Tidak dinafikan, suami saya ini miliki paras rupa yang boleh dikatakan menjadi dambaan setiap wanita.
“Mungkin ini sebabnya mengapa saya mudah memberikan perasaan ini kepadanya,” tuturnya.
Cerita Amira, suaminya itu juga seorang yang pandai bermain kata dalam menggodanya sebelum mereka berumah tangga. Akuinya, sebelum berkahwin, dia sendiri telah lemas dalam dakapan
Nedim dan mereka telah terlanjur beberapa kali.
Akhirnya, setelah hampir setahun menjalinkan hubungan, mereka berdua mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Pada awalnya, perkahwinan yang dibina baik-baik saja dan suaminya itu tampak bertanggungjawab.
Namun begitu, suaminya itu mempunyai sikap panas baran apabila kehendaknya tidak diikuti.
“Saya pernah ditampar olehnya apabila kami bergaduh kerana hal kecil sahaja.
“Saya amat terkejut kerana sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian,” bicaranya.
Amira berkata, setelah mereka berkahwin, dia mendapati suaminya itu masih aktif menggunakan aplikasi ‘dating’ tersebut untuk berkenalan dengan wanita lain.
Dia mengetahui hal itu ketika melihat telefon pintar milik suaminya itu.
“Saya merasakan dia masih aktif menggunakan aplikasi itu dan hanya akan memadam aplikasi tersebut apabila pulang ke rumah.
“Mungkin pada hari itu dia terlupa memadamkannya dan saya melihat perbualannya dengan beberapa wanita di aplikasi tersebut,” katanya.
Amira meminta penjelasan dan Nedim akhirnya mengakui dia hanya suka-suka menggunakan aplikasi tersebut.
Namun, dek hal itu juga, Nedim menjadi marah kerana Amira telah melihat telefon pintarnya tanpa kebenaran dan akhirnya terjadi pergaduhan sehingga Amira menjadi mangsa kekasaran.

Sejak dari itu, Amira mula menaruh rasa curiga kepada suaminya itu dan lelaki itu telah meletakkan kata laluan untuk mengunci telefon pintarnya.
“Sebagai seorang isteri, saya dapat merasakan dia berlaku curang kepada saya, namun dalam diam saya menghafal kata laluan ketika dia membuka telefon pintarnya.
“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk memeriksa telefon pintarnya sewaktu dia tidur pada waktu malam,” katanya.
Amira cukup terkejut melihat perbualan suaminya dengan beberapa wanita di telefon pintar itu. Malah, bukan itu sahaja, melalui perbualan-perbualan juga menunjukkan suaminya telah terlanjur dengan wanita-wanita itu.
Dia juga ada melihat gambar kemesraan suaminya dengan wanita lain dalam perbualan tersebut.
Luluh hatinya dan Amira sempat mengambil gambar perbualan itu untuk dijadikan bukti.
Keesokan harinya, Amira terus menunjukkan bukti itu kepada suaminya itu agar diberi penjelasan.
Nedim tidak dapat mengatakan apa-apa dan akhirnya mengakui perbuatan itu. Nedim berkata, dia berbuat demikian kerana Amira tidak dapat memberikan kepuasan kepadanya ketika mereka bersama.
Disebabkan faktor itulah dia memilih untuk berlaku curang dan ‘makan luar’.
Hal itu juga telah membuatkan Nedim naik angin kerana Amira melihat barang peribadinya tanpa izin dan berlaku pergaduhan antara mereka.
Akhirnya, Amira mengambil keputusan untuk pulang ke rumah orang tuanya untuk mencari ketenangan.
“Setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk berpisah dengan memohon fasakh kerana dia enggan melepaskan saya dengan baik,” jelasnya.
Akhirnya, dengan bukti yang disediakan Amira di mahkamah syariah, mereka berdua sah bercerai.














