fbpx
bahagian depan kenderaan begitu mempesona menerusi gril jeriji dengan kemasan krom.

Gemerlapan Honda HR-V hibrid dengan logo biru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini penulis telah diberi peluang oleh Honda Malaysia untuk menyertai pandu uji model HR-V dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang serta Dungun, Terengganu.

Dalam sesi pandu uji tersebut, dua varian RS dan V ditawarkan untuk kami lakukan pandu uji dalam masa tiga hari.

Model ini dilihat tampil lebih canggih dan premium berbanding tiga varian lain yang ditawarkan.

Varian RS merupakan model hibrid yang menggunakan enjin 1.5 liter e:HEV dengan dua motor dan transmisi e-CVT. Kombinasi tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 131PS pada 4,000 hingga 8,000rpm dan tork tertinggi 253Nm pada 0 hingga 3,500rpm.

Di atas kertas, kenderaan utiliti sukan (SUV) ini mencatatkan kelajuan tertinggi hingga 170 kilometer sejam (km/j) tetapi ketika sesi pandu, uji ada antara kami berjaya mencatat kelajuan lebih daripada itu untuk varian RS.

Kadar pecutan dari pegun hingga 100 km/j ialah 10.7 saat. Penggunaan petrol pula ialah 4.1 liter untuk perjalanan 100 kilometer (km).

Penulis difahamkan varian dengan enjin ini ditawarkan sebenarnya untuk memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan kecekapan sistem janaan hibrid dalam sebuah SUV kompak.

Dari segi luaran pula, varian ini hadir dengan jalur lampu LED, lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus LED.

Sebagai tambahan berbanding varian lain, HR-V RS hadir dengan lampu isyarat sequential depan untuk kelihatan lebih sporty.

KENDERAAN utiliti sukan ini kelihatan lebih canggih dan premium berbanding varian-varian lain yang ditawarkan Honda bagi model HR-V.

Ia juga dilengkapi gril jeriji depan dengan kemasan krom serta logo RS di depan dan belakang. Pada sebelah bawah jeriji gril pula terdapat elemen Amp Up Your Life berwarna merah.

Perbezaan lainnya ialah ia berlogo Honda warna biru yang sinonim pada model-model hibrid.

Varian RS ini hanya mempunyai satu ekzos di belakang kenderaan.

Masuk ke ruang kabin, model ini tanpa paddle shifter, namun digantikan dengan Deceleration Selector Paddle yang dapat memberikan pengalaman pemanduan berbeza yang mana turut dapat membantu proses mengecas bateri.

Bagi saya, kelebihan yang ditawarkan pada model ini ialah sifat praktikaliti di mana bahagian dalam SUV ini boleh dimanfaatkan sebaik mungkin mengikut pilihan tiga mod yang ditawarkan seperti utiliti, long dan tall.

Kerusi penumpang belakang memainkan peranan untuk menetapkan setiap mod yang ditawarkan dan sekiranya tempat duduk belakang direbahkan sepenuhnya, ruang simpanan barang juga akan menjadi lebih luas.

Penawaran mod untuk ruang ini merupakan antara kelebihan pada model HR-V baharu ini berbanding generasi-generasi sebelum ini.

Logo RS tertera pada bahagian belakang kenderaan

Misalnya, bagi mendapatkan mod long yang bertujuan membawa barang yang panjang, pengguna perlu merebahkan tempat duduk belakang dan tempat duduk penumpang hadapan.

Mod tall pula jika mahu membawa barang yang tinggi seperti pasu bunga. Caranya adalah dengan tempat duduk belakang dilipatkan ke atas.

Ciri-ciri ini memberi kelebihan kerana tidak mengganggu ruang but belakang.

Berbanding varian lain, HR-V RS hadir dengan unit penghawa dingin dua zon, pengelap cermin depan automatik, pedal jenis sport dan Hands Free Power Tailgate With Walkaway Close.

Ciri-ciri ini sebenarnya membolehkan Honda HR-V ini dikunci sendiri apabila pemandu berada jauh dari kenderaan. Apa yang penting mestilah bawa kunci bersama.

Berbalik kepada aspek pemanduan, dalam sesi pandu uji itu kami telah melalui beberapa laluan seperti jalan persekutuan, jalan kampung, jalan bukit, berselekoh dan lebuh raya.

Antara lokasi yang kami lalui sebelum tiba ke Kuantan ialah Genting Highlands, Janda Baik dan Lebuh Raya Pantai Timur.

Dari segi ruang dalaman, kenderaan ini tampak luas.

Penulis mendapati Honda HR-V RS ini tidak mempunyai masalah semasa pemanduan. Bahkan, tork yang dihasilkan cukup untuk memberikan kuasa terutama ketika mahu memotong kenderaan lain sewaktu mendaki.

Untuk makluman, model ini menggunakan sistem suspensi MacPherson Strut pada bahagian hadapan dan Torsion Beam.

Dari aspek keselamatan, model ini turut hadir bersama ciri-ciri Honda SENSING sebagai nilai tambah kepada keselamatan pelanggan-pelanggan.

Honda SENSING itu termasuk Sistem Amaran Perlanggaran Hadapan (Forward Collision Warning), Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System), Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation) dan Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning).

Selain itu, ia juga dilengkapi Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (Collision Mitigation Braking System), Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam), Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control) dan Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN