fbpx

Siasat segera, jangan salahkan permintaan telur laris punca kurang – CAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang menyiasat segera punca kekurangan bekalan telur ayam di negeri ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, agensi penguatkuasa berkenaan tidak boleh sekadar menyatakan permintaan yang tinggi menjadi punca utama berlakunya kekurangan barangan mentah itu.

“Agensi terbabit perlu lakukan siasatan terperinci mengenai punca sebenar yang kemungkinan terdapat masalah lain yang menyebabkan situasi ini terjadi.

“Masalah kekurangan telur ayam di pasaran mesti diatasi dengan segera memandangkan pengguna kini terbeban dengan masalah kekurangan telur ayam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat aduan pengguna yang mendakwa berlaku kekurangan bekalan telur ayam terutama membabitkan telur ayam gred A di beberapa daerah negeri ini.

Bagaimanapun, PPDNHEP Pulau Pinang semalam menafikan berlakunya kenaikan harga untuk barang kawalan seperti telur ayam ketika ini meskipun bekalannya diakui sedikit.

Menurut Mohideen, aduan pengguna mengenai kekurangan bekalan telur ayam itu perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa.

“Setiap hari kami menerima aduan daripada pengguna mengenai kesukaran mereka mendapatkan barangan keperluan itu di kedai-kedai termasuk di pasar.

“Situasi ini mesti dikawal segera bagi mengelak berlaku masalah kekurangan bekalan ayam yang lebih serius nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, CAP juga sedang menjalankan siasatan mengenai isu kartel-kartel yang menguasai pasaran makanan di negara ini.

“Kami sedang memperhalusi serta menyiasat perkara ini dan akan maklumkan mengenainya menerusi kenyataan akhbar dalam tempoh terdekat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI