fbpx

2,252 laman sesawang disekat langgar hak cipta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya membanteras 531 kes pengedaran cetak rompak dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 5.4 juta sejak 2018.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, kejayaan itu merupakan kerjasama pelbagai pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pemain industri.

Katanya, tindakan itu dilihat serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang terlibat dalam menawarkan penjualan alat peranti teknologi penstriman mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran secara fizikal atau digital.

“Selain itu, Malaysia sering dijadikan contoh kepada negara-negara lain ekoran keberkesanan melaksanakan sekatan laman sesawang dan penurunan kandungan dalam melumpuhkan capaian kepada cetak rompak digital.

“Bagi tempoh 2018 hingga September 2022, KPDNHEP melaksanakan sekatan laman sesawang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran secara digital melibatkan 2,252 laman sesawang selain 2,391 kandungan diturunkan bagi tindakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Azman berkata, inisiatif lain dilakukan dengan menyekat laman sesawang cetak rompak ialah melalui program Cyber Copyright Enforcement (CYCORE).

“Bermula 2021 sehingga kini, sebanyak 27 filem telah menyertai program itu dengan 319 laman sesawang disekat dan 1,902 penurunan kandungan.

“Tindakan berkenaan merupakan kaedah paling pantas dan berkesan dalam melumpuhkan aktiviti penularan cetak rompak digital dengan kerjasama pihak SKMM,” jelasnya.

Menurutnya, tindakan itu dijalankan melalui penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588).

Susulan itu, Azman menegaskan, mana-mana individu atau peniaga yang menjual alat peranti teknologi penstriman mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan bawah seksyen 43AA, Akta Hak Cipta 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI