fbpx

Masuk bilik bedah kena bola hoki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAJA NORSHARINA (tengah) meraikan jaringannya ketika membantu Selangor menewaskan Melaka 3-2 pada final Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional baru-baru ini. - MHC

KUALA LUMPUR – Semangat Raja Norsharina Raja Shabuddin tidak pernah padam buat sukan hoki walaupun sering mengalami pelbagai siri kecederaan sejak membuat debut antarabangsa bersama skuad kebangsaan pada 2009.

Terbaharu, tonggak pertahanan berpengalaman Malaysian Tigress itu terpaksa menjalani pembedahan di bahagian mukanya disebabkan kecederaan patah tulang hidung dalam saingan Piala Tun Abdul Razak 2022.

Raja Norsharina, 31, mengalami kecederaan itu selepas terkena bola ketika menyarung jersi Selangor pada peringkat Super 4 saingan Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hujung minggu lalu.

Bukan sahaja tetap beraksi dalam keadaan cedera dengan memakai topeng muka tetapi Raja Norsharina turut meledak gol kedua Selangor yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Melaka 3-2 pada final kejohanan itu.

RAJA NORSHARINA selamat menjalani pembedahan disebabkan kecederaan patah tulang hidung di Hospital Pantai Ampang semalam. – RAJA NORSHARINA

Lebih manis, kapten Selangor itu turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Bagi Raja Norsharina, kecederan kali ini adalah pengalaman terburuk dalam karier sebagai pemain hoki sehinggakan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Pantai Ampang semalam.

“Terlalu banyak kecederaan saya alami selama bermain hoki. Saya kena bola daripada pihak lawan terus naik ke hidung. Saya tak pernah putus asa atau mengalah mungkin sebab minat dan semangat.

“Sebelum ini saya pernah patah gigi depan, ligamen buku lali kiri putus, koyak otot gastrocnemius, hamstring, bola terkena telinga dan sekarang patah hidung.

“Alhamdulillah semuanya berbaloi sebab saya rasa seronok apabila dapat bermain dan berkongsi pengalaman serta ilmu kepada pemain-pemain muda,” katanya.

RAJA NORSHARINA (kanan) terpaksa memakai topeng pelindung muka selepas mengalami patah tulang hidung pada saingan Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini. – ARENA HOKI MALAYSIA

Raja Norsharina kini bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Kadir di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Menurutnya lagi, dia memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya sebulan untuk proses pemulihan sebelum boleh kembali berlatih bersama skuad negara.

Sebagai rekod, Malaysian Tigress akan menghadapi jadual sibuk tahun depan bermula saingan Sukan SEA Kemboja, Trofi Juara-Juara Asia dan Sukan Asia di Hangzhou, China. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI