fbpx

VAR selamatkan kemenangan Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAKA menjaringkan gol tunggal Arsenal dalam kemenangan 1-0 ke atas Leeds pada aksi EPL di Elland Road sebentar tadi. - ARSENAL

LEEDS – Arsenal perlu berterima kasih kepada sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam kemenangan 1-0 ke atas Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.

Perlawanan di Elland Road itu tertangguh selama 38 minit ketika aksi baru berlangsung selama 23 saat disebabkan bekalan elektrik terputus di stadium berkenaan.

Masalah itu menyebabkan pengadil, Chris Kavanagh hilang komunikasi dengan petugas yang mengendalikan sistem VAR dan juga bantuan teknologi garisan gol.

Sebaik perlawanan kembali diteruskan, Arsenal tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol menerusi Bukayo Saka pada minit ke-35 selepas bermain hantaran cantik satu dua dengan Martin Odegaard.

Leeds berpeluang menyamakan kedudukan di babak kedua selepas Kavanagh menghadiahkan sepakan penalti kerana mendakwa bola terkena tangan pemain pertahanan Arsenal, William Saliba.

Bagaimanapun, penyerang Leeds, Patrick Bamford mensia-siakan kesempatan itu apabila rembatannya tersasar di sebelah kiri tiang gol The Gunners pada minit ke-64.

KAVANAGH (tengah) meminta bantuan VAR untuk menilai semula insiden antara Gabriel dan Bamford sebelum membatalkan sepakan penalti Leeds di Elland Road sebentar tadi. – AFP

Drama antara kedua-dua pasukan kembali tercetus pada penghujung perlawanan apabila Kavanagh melayangkan kad merah kepada bek tengah Arsenal, Gabriel Magalhaes sebelum menghadiahkan satu lagi sepakan penalti kepada Leeds.

Ia selepas Bamford mendakwa dia ditendang oleh Gabriel selepas mereka berdua berlanggar dalam kawasan kotak penalti.

Arsenal bernasib baik apabila Kavanagh meminta bantuan VAR untuk menilai semula insiden tersebut sebelum beliau membatalkan sepakan penalti Leeds dan menarik semula kad merah terhadap Gabriel.

Keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus membolehkan Arsenal mengekalkan penguasaan di tangga teratas EPL dengan kemenangan kesembilan daripada 10 perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI