fbpx

PRU15 : Nurul Izzah nafi rundingan sulit UMNO, PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Izzah (tengah) ketika program Jelajah Prihatin Deepavali PKR Pulau Pinang di Wisma PKR Bayan Baru hari ini.

GEORGE TOWN – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan wujud rundingan sulit antara parti itu dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Nurul Izzah berkata, dakwaan yang dilemparkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hanya satu khabar angin menjelang PRU15.

”Ia (khabar angin) tidak sihat dan saya mahu tumpukan jentera PKR di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis untuk hadapi pilihan raya nanti,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan jelajah PKR sempena Deepavali di Wisma Keadilan Pulau Pinang di sini hari ini.

Sebelum ini, Bersatu mendakwa UMNO dan PKR sedang mengadakan rundingan sulit untuk bekerjasama bagi menghadapi PRU15.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, perbincangan itu dilakukan antara pasukan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pasukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) berkata, sudah terang lagi bersuluh bahawa parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) kecewa dengan pembubaran Parlimen.

”Seramai 38 Ahli Parlimen UMNO dan segelintir daripada mereka memaksa kita melalui pembubaran Parlimen, maka adalah jelas kita tidak mahu menerima pakai perkara begini.

”Bagaimana saya boleh menyokong pihak yang jelas telah membawa kita dalam dilema dan bahaya ini khususnya Presiden UMNO,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa PKR tidak bersedia menghadapi PRU15 sehingga menyebabkan tiga negeri PH tidak dapat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), Nurul Izzah berkata, kesepakatan antara parti-parti komponen PH perlu dihormati oleh semua pihak.

”Kita bukan sahaja bercakap di dalam konteks Selangor, tetapi kita bercakap dalam konteks tiga negeri di mana kita hormati kesepakatan antara kita.

“Apa yang penting adalah, kita bantu rakyat untuk selamatkan diri mereka dengan tawarkan pilihan kepada mereka,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI