fbpx

Angkara bau makanan, wanita cedera dipukul abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KAJANG – Seorang lelaki tergamak memukul adik perempuannya sehingga cedera akibat berang bau asap masakan yang masuk ke dalam biliknya di kediaman mereka, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa iaitu wanita tempatan berusia 24 tahun pada hari yang sama kejadian berlaku.

Katanya, suspek berusia 31 tahun itu bertindak demikian kerana biliknya berasa bahang atas tindakan adiknya yang sedang memasak ketika itu.

“Pergaduhan terjadi ketika mangsa sedang memasak di dapur sehingga bau dan asap masakan masuk ke bilik suspek menyebabkan biliknya berasa bahang.

“Ekoran itu, suspek telah keluar dari bilik dan menunjukkan protes dengan cara menutup pintu secara kuat sambil memaki hamun mangsa selain bertindak menarik rambut, menumbuk dan menampar di bahagian muka pengadu” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, kata beliau, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan serta patah gigi hadapan akibat ditumbuk oleh suspek.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kajang berjaya menahan suspek di rumah sekitar pukul 1.30 pagi, hari ini.

“Suspek ditahan reman sehingga isnin depan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Suresh a/l Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI