fbpx

Wanita rugi RM141,000 ditipu ‘angkasawan Russia’ pinjam wang pulang ke Bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LELAKI itu mengaku dia seorang angkasawan Russia yang bertugas di ISS. – esa.int

TOKYO – Seorang warga emas di Jepun kerugian 4.4 juta yen (RM140,992) selepas menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan angkasawan Russia dan bekerja di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), lapor laman berita Oddity Central, kelmarin.

Wanita berusia 65 tahun dari wilayah Shiga itu dilaporkan jatuh cinta dengan lelaki berkenaan selepas berkenalan menerusi aplikasi media sosial Line pada Jun lalu.

Suspek dikatakan telah meminta agar mangsa menghantar sejumlah wang untuk membantunya pulang ke Bumi.

Lelaki tersebut juga berjanji untuk berpindah ke Jepun dan mengahwini warga emas berkenaan.

Menurut mangsa, ‘teman lelakinya’ memerlukan wang untuk membayar tambang roket dan yuran pendaratannya di Bumi.

Dia dikatakan mempercayai lelaki tersebut kerana suspek sudah biasa menggunakan akronim melibatkan angkasa lepas seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) atau Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA). 

Lelaki itu juga telah memuat naik beberapa foto ISS dalam akaun Instagram miliknya.

Mangsa dilaporkan menghantar wang kepada suspek dalam lima transaksi berbeza sebelum melaporkan kepada polis selepas suspek meminta jumlah wang yang lebih banyak. 

Tiada laporan dikongsikan sama ada Polis Jepun berjaya menangkap lelaki tersebut atau menunggu dia benar-benar kembali ke Bumi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI